26 August 2016

Menteri Bekalan Mesir letak jawatan susulan skandal gandum

JUMAAT, 26 OGOS 2016 @ 12:19 AM

Menteri Bekalan Mesir, Khaled Hanafy.

KAHERAH: Menteri Bekalan Mesir, Khaled Hanafy, mengumumkan peletakan jawatannya selepas dilaporkan bertanggungjawab terhadap perjanjian gandum yang menyebabkan kerugian puluhan juta dolar kepada negara itu.

Dalam satu pengumuman disiarkan di televisyen, Hanafy berkata kebanyakan kritikan ke atasnya berbentuk peribadi, merujuk kepada laporan beliau tinggal di sebuah hotel mewah di sini susulan pelantikannya pada 2014.

 "Saya mengumumkan, dengan penuh integriti dan terbuka, bahawa saya melepaskan jawatan saya. "Pengalaman menunjukkan, menjadi seorang menteri bukan tugas mudah, sebaliknya satu beban, dan kebanyakan apa yang diperkatakan adalah mengenai hal peribadi," katanya.

Media Mesir melaporkan, satu jawatankuasa yang sedang menyiasat dakwaan perjanjian gandum mendapati Hanafy bertanggungjawab. Pembekal didapati menjual gandum import murah sebagai keluaran tempatan bagi memperoleh subsidi, menyebabkan kerajaan menanggung kos kira-kira AS$55 juta (RM221.59 juta). Siasatan itu dilakukan ketika kerajaan mahu mengurangkan perbelanjaan awam di Mesir, pengimport gandum terbesar dunia.

Hanafy juga dituduh membelanjakan dana awam bagi membayar sewa hotelnya dengan seorang Ahli Parlimen menganggarkan kosnya berjumlah AS$800,000 (RM3.22 juta).

Hanafy menafikan kerajaan membayar perbelanjaannya dan memaklumkan kepada sebuah akhbar bahawa beliau membayar kos penginapan di hotel dengan wang sendiri. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/186783

No comments:

Post a Comment