6 August 2016

Ketua Daesh Mesir terbunuh






KAHERAH – Seorang ketua kumpulan pengganas Daesh yang mendalangi serangan maut ke atas pasukan keselamatan dan disyaki menjatuhkan sebuah pesawat komersial Rusia terbunuh dalam satu serangan udara Mesir, kata pihak tentera kelmarin.

Bagaimanapun, pengumuman yang oleh tentera Mesir tidak menyebut lokasi serangan itu. Kaherah sebaliknya mendedahkan nama ketua pengganas Daesh itu sebagai Abu Doaa al-Ansari yang berpangkalan di Semenanjung Sinai.

Dia dikatakan terbunuh bersama beberapa pembantu kanannya dan sebilangan Daesh lain dalam serangan yang dilakukan oleh tentera udara dan skuad antipengganas Mesir, kata seorang jurucakap tentera di laman sosial Facebook.

Sejak tentera Mesir menggulingkan Pre­sidennya, Mohamed Morsi pada tahun 2013, kumpulan pengganas telah mengetuai serangan pemberontakan ke atas tentera dan polis dengan melancarkan serangan hampir setiap hari di Sinai Utara.

Serangan berkenaan telah membunuh beratus-ratus anggota polis dan tentera yang didakwa dilakukan oleh cawangan kumpulan Daesh Mesir di Semenajung Sinai.

Pasukan tentera akhirnya berjaya membunuh Abu Doaa al-Ansari dan beberapa pembantu utamanya bersama lebih 45 anggota Daesh.

Kumpulan Ansar Beit al-Maqdis adalah nama kumpulan itu sebelum mereka mengangkat sumpah taat setia kumpulan Daesh pada November 2014.

Kenyataan itu berkata, berpuluh-puluh yang lain telah ditembak secara tepat dalam sera­ngan ke atas kubu kuat kumpulan itu di selatan dan barat daya bandar EL- Arish, Sinai.

Malah, operasi berkenaan telah memusnahkan sebuah depot yang menyimpan senjata api, peluru dan bahan letupan kumpulan pengganas itu.

Sebelum ini, kumpulan itu mengakui bertanggungjawab menembak jatuh sebuah pesawat Rusia yang membawa pelancong dari pusat peranginan Sinai dengan menyebabkan kesemua 224 penumpang dan anak kapal terbunuh. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0806&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz4GWacW5P9
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment