19 March 2016

Sisi beri amaran Barat jauhi Libya

JUMAAT, 18 MAC 2016 @ 12:06 AM



PRESIDEN Mesir Abdel Fattah al-Sisi. - Foto AP

 ROME: Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi memberi amaran kepada kuasa Barat, Libya mungkin berada di luar kawalan jika mereka cuba campur tangan menggunakan kuasa tentera di negara Afrika Utara yang dilingkari konflik. Bercakap dalam satu temuramah, pemimpin disokong tentera itu berkata, Barat dan sekutunya sepatutnya menumpukan usaha mengukuhkan tentera kerajaan diiktiraf di peringkat antarabangsa dan membiarkannya melakukan tugas menstabilkan negara itu.

Tentera dipimpin Khalif Haftar, seorang jeneral bersara secara rasmi yang menghabiskan 20 tahun hidup dalam buangan di Amerika Syarikat (AS), dianggap berpotensi sebagai "Sisi Libya" kerana tentangan kerasnya terhadap kumpulan militan.

 "Jika kita menyediakan senjata dan sokongan kepada tentera Libya ia boleh melakukan tugas lebih baik berbanding orang lain, lebih baik berbanding campur tangan tentera luar yang berisiko menyeret kami ke dalam situasi yang berisiko di luar kawalan," kata Sisi kepada akhbar Itali, La Repubblica dalam satu temuramah disiarkan hari ini. Sisi berkata, sejarah "bercakap dengan jelas" mengenai kesukaran cuba melaksanakan keamanan dari luar.

 "Dua pengajaran perlu diingati: Afghanistan dan Somalia. Ia adalah campur tangan panjang asing yang bermula lebih 30 tahun lalu dan apa perkembangan yang sudah dibuat sejak itu? "Keputusannya ada untuk dilihat semua orang," katanya. Sisi juga mengatakan kerajaan Eropah memandang rendah skala pengaruh pelampau Islam di Libya.

 "Eropah melihat Libya seolah-olah IS hanyalah satu-satunya ancaman. Ia adalah satu kesilapan besar. "Kita terpaksa berwaspada dengan militan berbeza dengan ideologi sama, apa yang kita katakan mengenai rangkaian Al-Qaeda seperti Ansar al-Islam atau Shebab di Somalia dan Boko Haram di Afrika," katanya. -AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/134662