1 November 2015

Mesir, Russia tolak dakwaan IS dalang pesawat terhempas

PERDANA Mneteri Mesir, Sherif Ismail ketika melihat kawasan nahas di Sinai. - Foto REUTERS
AHAD, 1 NOVEMBER 2015 @ 9:48 AM
KAHERAH: Pihak berkuasa Mesir menolak kemungkinan sebuah pesawat komersial Russia yang terhempas di Semenanjung Sinai, pada Sabtu dan mengorbankan semua 224 orang dalamnya adalah angkara kumpulan militan Negara Islam (IS).
IS di Mesir mendakwa ia bertanggungjawab terhadap kemusnahan pesawat itu, milik syarikat Kogalymavia dan menggunakan nama penerbangan Metrojet, tetapi tidak menyatakan maklumat lanjut menyebabkan Mesir dan Russia menolak dakwaan itu.
Perdana Menteri Mesir, Sharif Ismail, berkata pakar sudah mengesahkan pesawat itu tidak boleh ditembak jatuh pada paras penerbangannya ketika itu, 31,000 kaki manakala Menteri Pengangkutan Russia, Maxim Sokolov berkata dakwaan IS itu tidak tepat.
Dalam pada itu, syarikat penerbangan Lufthansa, Emirates dan Air France mengumumkan menghentikan laluan penerbangan Sinai sehingga punca nahas pesawat Russia itu ditentukan.
Mac lalu, Jabatan Penerbangan AS menasihatkan pesawat awam negara itu mengelak terbang di kawasan Sinai lebih rendah daripada paras 26,000 kaki.
Ketika nahas itu, pesawat Kogalymavia dengan nombor penerbangan 9268, putus hubungan dengan menara kawalan 23 minit selepas berlepas dari resort Sharm el-Sheikh di Laut Merah menuju ke Saint Petersburg.
Serpihan pesawat dan mayat penumpang ditemui di satu kawasan seluas enam hingga lapan kilometer, kira-kira 100 kilometer dari bandar El-Erish, kata pegawai Mesir. - AFP

No comments:

Post a Comment