30 November 2015

Lokasi Pelancongan Sharm El Sheikh Jadi Bandar 'Berhantu'


Diterbitkan: Isnin, 30 November 2015 9:23 AM

PERGOLAKAN politik, pengeboman dan yang terakhir nahas pesawat milik Rusia di Sinai meninggalkan kesan buruk kepada industri pelancongan Mesir.
Sebelum berlaku kebangkitan Arab Spring pada 2011, seramai 15 juta pelancong direkodkan tiba di Mesir untuk bercuti di Sharm El Sheikh dan Nuweibaa selain lokasi di bandar.
Bagaimanapun, akibat pergolakan politik, jumlah pelancong menurun kepada sembilan juta pada 2014.
Kehadiran pelancong semakin merosot pada  2015 di lokasi mewah seperti di Sharm El Sheikh dan Nuweibaa yang kini semakin sunyi.
Banyak resort mula menghentikan operasi manakala yang sedang dibina dibiarkan terbengkalai.
Jalan-jalan utama di kawasan pelancongan kini sunyi dan suasana di pantai juga seperti tidak pernah dihuni.
Jumlah kehadiran pelancong ke  Sharm El Sheikh dijangka bertambah merosot apabila syarikat penerbangan yang membawa 900,000 pelancong British ke lokasi itu akan menghentikan operasi ke kawasan tersebut pada 2016.
Seorang jurugambar tempatan sempat merakam gambar kawasan pelancongan di Sharm El Sheikh dan Nuweibaa yang kini sunyi dan bakal menjadi bandar 'berhantu' jika ia tidak lagi dikunjungi pelancong.
Kawasan penginapan pelancong yang semakin sunyi.


Hotel yang dalam pembinaan ditinggalkan akibat ketiadaan pelancong.

Penjaga taman botanik Sharm el Sheikh menunggu ketibaan pengunjung.

Pusat membeli-belah yang dulunya dipenuhi pelancong kini sunyi.

Kawasan pantai di resort mewah antara yang masih menjadi pilihan pengunjung walaupun suasana berbeza berbanding sebelum ini.

Kawasan pantai Taba yang menjadi pilihan pelancong kini turut sunyi.

19 November 2015

Putin, al-Sisi setuju tingkat tahap keselamatan udara - Kremlin

RABU, 18 NOVEMBER 2015 @ 10:35 PM

MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin dan rakan sejawatannya dari Mesir, Abdel Fattah al-Sisi hari ini bersetuju untuk "kerjasama erat" antara agensi perkhidmatan keselamatan masing-masing selepas

Moscow mengesahkan bom menyebabkan pesawat penumpang miliknya terhempas di Semenanjung Sinai, akhir bulan lalu. "Dalam konteks usaha mencari penjenayah yang terbabit dalam perbuatan pengganas terhadap pesawat Russia itu, kerjasama erat dipersetujui antara perkhidmatan keselamatan Russia dan Mesir," menurut Kremlin dalam satu kenyataan merujuk perbualan telefon antara Putin dan Al-Sisi.

"Tujuannya adalah untuk mengambil langkah tambahan bagi memastikan keselamatan trafik udara antara kedua-dua negara di tahap maksimum," kata kenyataan itu. Moscow semalam menyatakan untuk pertama kalinya bahawa pesawat Airbus A321 Russia yang terhempas sejurus berlepas dari Sharm el-Sheikh, Mesir pada 31 Oktober lalu, dimusnahkan oleh sebutir bom tetapi Mesir belum mengesahkan serangan itu.

Kaherah menegaskan mereka masih menunggu keputusan siasatan yang diketuai Mesir sebelum boleh memberi keputusan muktamad mengenai punca insiden yang meragut 224 nyawa itu. - AFP

PUTIN (kanan) dan Abdel Fattah al-Sisi hari ini bersetuju untuk "kerjasama erat" antara agensi perkhidmatan keselamatan masing-masing. - Foto AFP DISYORKAN

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/98132

10 November 2015

Tentera Mesir Tahan Wartawan Di Lokasi Rahsia


Diterbitkan: Selasa, 10 November 2015 11:25 AM
Hossam Bahgat masih ditahan di lokasi rahsia kerana artikel tulisannya dikatakan menyebar berita palsu.

KAHERAH: Peguambela kepada wartawan siasatan dan hak kemanusiaan Mesir memaklumkan pihak tentera menahan anak guamnya di sebuah lokasi rahsia sehingga dihadapkan ke muka pengadilan kerana menyebarkan berita palsu.
Adel Ramadan, salah seorang peguam berkata, pendakwa tentera enggan memberitahu di mana Hossam Bahgat yang ditahan Ahad berada selepas diarah ke bangunan agensi risikan di sini.
Bahgat adalah salah wartawan hak asasi terbaik Mesir. Beliau mengasaskan Inisiatif Hak Peribadi pada 2002 dan pulang ke negara asalnya selepas setahun sebagai felo pelawat di sekolah kewartawanan di Universiti Columbia, New York.
Penahanannya menyebabkan ramai di kalangan aktivis menyuarakan rasa tidak puas hati di laman sosial.
Kata Ramadan, pihak pendakwa bertanyakan maklumat terperinci mengenai artikel yang ditulisnya bulan lalu berkaitan hukuman terhadap sekumpulan pegawai tentera pada Ogos 2015 selepas didakwa bersubahat dengan Presiden yang disingkirkan Mohammed Morsi untuk menentang Presiden baharu Mesir, Abdel Fattah el-Sisi.
"Saya bertanyakan ketua kumpulan pendakwa di mana lokasi penahanan Bahgat tetapi dia tetap merahsiakannya.
"Tiada siapa tahu apa akan berlaku, dia mungkin akan dibebaskan atau akan ditahan lebih lama," kata Ramadan sambil menambah anak guamnya itu mungkin ditahan sehingga Rabu ini.
Jurucakap tentera, Brig Jen Mohamed Samir berkata, Bahgat dirujuk ke perbicaraan tentera kerana menggugat keselamatan negara dan menulis berkaitan pasukan keselamatan itu tanpa kebenaran pegawai tertinggi tentera.
Jika didapati bersalah, Bahgat akan dikenakan hukuman penjara dan/atau membayar denda sehingga $2,500.

8 November 2015

Wanita Mesir dijatuhi hukuman mati bertekak dengan delegasi al-Sisi di London

mesiri

November 7, 2015 
LONDON, Sabtu – Aktivis politik Mesir yang dijatuhkan hukuman mati dalam perbicaraan tanpa kehadirannya, Sondos Asem, bertekak dengan anggota delegasi Presiden Abdel Fattah al-Sisi yang melawat United Kingdom dalam satu program televisyen, kelmarin.
Asem, bekas anggota koordinasi media antarabangsa kepada bekas presiden yang digulingkan Mohammed Morsi, adalah wanita berprofil tinggi yang dijatuhi hukuman mati di Mesir sejak 2013 lalu.
Mahkamah Mesir pada Mei menjatuhkan hukuman mati tanpa kehadiran terhadap beliau atas dakwaan terbabit dalam pengintipan, berkonspirasi dengan pergerakan Hamas, United Kingdom, Amerika Syarikat, Iran dan Hezbollah.
Ketika perbualan dalam sebuah program televisyen BBC, Asem membincangkan situasi semasa di Mesir, bersama seorang delegasi al-Sisi yang juga bekas diplomat era Presiden Hosni Mubarak, Mohamed el-Orabi.
“Saya tidak pernah mengalami situasi sebegini di mana seorang tetamu dijatuhi hukuman mati oleh rejim yang mana seorang lagi tetamu adalah anggotanya,” kata pengacara rancangan itu, James O’Brien.
Orabi memberitahu O’Brien bahawa ‘sesiapa saja’ yang ditemui oleh delegasi Mesir di Dewan Rendah dan Dewan Parlimen United Kingdom berdoa keadaan Mesir akan stabil.
Ditanya sama ada beliau berasa selesa dengan hukuman mati ke atas Asem, Orabi menjawab: “Sudah pasti tidak. Beliau adalah wanita Mesir. Jika beliau kembali ke Mesir, beliau akan menghadapi perbicaraan yang adil.. (tetapi) saya tidak tahu kes beliau.”
Menulis dalam kolum untuk Middle East Eye minggu ini, Asem mengetengahkan apa yang ditemui oleh Amnesty 
International dan Pemerhati Hak Asasi Manusia bahawa perbicaraan besar-besaran di mana beliau dijatuhi hukuman yang bermotifkan politik.
“Di Mesir, ramai rakan saya dan bekas pekerja berdepan ugutan dan ancaman terhadap jenayah yang mereka tidak lakukan.
“Kebanyakannya mereka ditahan di dalam kurungan dan sesetengahnya sudah dipakaikan uniform merah yang ditetapkan kepada mereka yang menanti hukuman mati.
“Mereka juga menjadi sasaran penderaan psikologi dan fizikal yang sukar bagi manusia untuk bertahan,” katanya Asem dalam tulisannya.
Dalam program itu, Asem yang kini sedang menyiapkan Ijazah Sarjana dalam Polisi Awan di Universiti Oxford, berkata beliau terkejut kerana dijatuhi hukuman mati tanpa kehadiran.
“Amat menyedihkan bagi saya dan sesiapa sahaja yang tidak boleh kembali ke negara mereka. Saya dilahirkan dan dibesarkan di Mesir,” katanya.
Asem menyoal Orabi mengenai lebih 1,000 orang yang sudah dijatuhi hukuman mati sejak rampasan kuasa itu, sedangkan tiada sebarang bukti ditunjukkan untuk mensabitkan mereka dengan tuduhan.
Bagaimanapun, Orabi menjawab: “Kami tidak akan membincangkannya di sini.”

2 November 2015

Pesawat diselenggara ikut jadual, diuji sebelum berlepas - Syarikat Kogalymavia


KEADAAN serpihan pesawat yang musnah di Sinai. - Foto REUTERS
MOSCOW: Syarikat penerbangan Kogalymavia berkata, semua pesawatnya sudah diselenggara mengikut jadual dan diuji sebelum berlepas.
Kogalymavia berkata, dalam satu kenyataan bahawa pihaknya juga tidak meragui tahap profesionalisme juruterbang atau anak kapal pesawat yang terhempas di Semenanjung Sinai, Mesir, semalam.
Sementara itu, pasukan penyiasat Russia akan mempertimbangkan semua senario mengapa pesawat Russia yang membawa 224 penumpang itu terhempas, menurut Jawatankuasa Siasatan Russia dalam satu kenyataan, hari ini.
Vladimir Markin berkata, penyiasat sudah mengambil dokumen teknikal pesawat yang terhempas sepanjang tempoh penggunaannya dan turut mempersoalkan tanggungjawab pekerja untuk menyelenggara pesawat penerbangan Kogalymavia itu. - REUTERS

Pesawat bawa balik 162 mayat ke Russia


KAHERAH: Sebuah pesawat membawa 162 mayat mangsa nahas pesawat Russia yang terhempas di Semenanjung Sinai, meninggalkan Kaherah untuk dibawa balik ke Russia hari ini.
pegawai lapangan terbang berkata, pesawat Ilyushin-76 berlepas dari ibu negara Mesir menuju ke Saint Petersburg.
Mayat adalah mangsa nahas Sabtu lalu membabitkan pesawat jenis Airbus A-321 yang membawa 224 orang yang mengorbankan kesemua mereka. - AFP

Pesawat Russia berkecai di udara - penyiasat


BANGKAI pesawat A321 yang terhempas di Semenanjung Sinai, Mesir pada Sabtu. - Foto AFP 
ISNIN, 2 NOVEMBER 2015 @ 9:34 AM

KAHERAH: Pesawat Russia yang terhempas di Semenanjung Sinai, Mesir pada Sabtu dipercayai berkecai di udara, kata seorang pegawai penyiasat agensi penerbangan Russia selepas melawat kawasan nahas pada Ahad.
Bagaimanapun, pegawai itu menegaskan masih terlalu awal untuk membuat keputusan konkrit berhubung nahas itu.
Pihak berkuasa Russia setakat ini sudah mengarahkan syarikat penerbangan Kogalymavia, pemilik pesawat Airbus A321 yang terhempas dan mengorbankan semua 224 penumpang dan kru, tidak menggunakan lagi pesawat jenis itu hingga punca nahas dipastikan.
SERPIHAN pesawat yang bertebaran. - Foto Reuters
Pesawat berkenaan yang dikendalikan Kogalymavia menggunakan jenama Metrojet berlepas dari kawasan resort di Laut Merah, Sharm el-Sheikh ke St Petersburg apabila terputus hubungan dengan menara kawalan 23 minit kemudian pada ketinggian lebih 30,000 kaki.
"Kemusnahan pesawat ini berlaku ketika ia sedang terbang, seperti yang terlihat menerusi serpihan pesawat yang bertebaran di kawasan seluas lebih 20 kilometer," kata Viktor Sorochenko, pengarah Jawatankuasa Penerbangan Nasional.
Jawatankuasa itu yang berpangkalan di Moscow, mewakili Komanwel Negara Merdeka (CIS) termasuk Russia dan beberapa negara bekas Kesatuan Soviet.
Sementara itu, pesawat yang membawa 162 mayat mayat mangsa nahas berlepas dari Lapangan Terbang Kaherah ke St Petersburg pada Ahad.
Seorang pegawai lapangan terbang berkata, pesawat Ilyushin-76 membawa mayat berkenaan untuk disemadikan di tanah air mereka. - AFP

Nahas pesawat: Siasatan akan ambil masa berbulan-bulan - Presiden Mesir


PRESIDEN Mesir, Abdel Fattah al-Sisi. - Foto AFP
KAHERAH: Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi berkata, siasatan mengenai punca nahas pesawat Russia yang meragut 224 nyawa semalam, akan mengambil masa sehingga berbulan-bulan.
"Ini adalah satu perkara yang rumit dan memerlukan teknologi canggih... siasatan menyeluruh boleh memakan masa sehingga berbulan-bulan," katanya kepada anggota tentera dalam satu ucapan, hari ini.
Sementara itu, penganalisis Mesir mula memeriksa kandungan dua kotak hitam pesawat Airbus A321 yang ditemui terhempas di Semenanjung Sinai, Mesir.
Pasukan penganalisis berkata, siasatan terhadap kotak hitam itu ia akan mengambil masa beberapa hari untuk mendapatkan semua data. - REUTERS

Emirates Henti Penerbangan Ke Sinai


Diterbitkan: Ahad, 1 November 2015 4:11 PM
Perdana Menteri Mesir, Sherif Ismail (tengah) melawat sekitar lokasi pesawat Airbus terhempas di Hassana, semenanjung Sinai, Sabtu.

DUBAI: Syarikat penerbangan Emirates memberhentikan penerbangannya ke semenanjung Sinai, Mesir pada Ahad selepas pesawat penumpang Rusia terhempas dan mengorbankan 224 penumpang termasuk kru.
"Sekarang ini, Emirates mengelak untuk terbang ke semenanjung Sinai sehingga maklumat lanjut diperoleh.
"Kami sedang memantau keadaan," kata jurucakap kepada syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.
Air France dan Lufthansa mengumumkan mereka juga akan memberhentikan penerbangan ke kawasan itu sebagai langkah berjaga-jaga sementara punca pesawat Rusia terhempas masih dalam siasatan pada Sabtu.
Menteri Pengangkutan Rusia mendakwa kumpulan militan Negara Islam (IS) mungkin terlibat dalam serangan ke atas pesawat itu.
Menurut pegawai keselamatan Mesir, pesawat itu terhempas bukan kerana serangan.
Pegawai Kanan Kawalan Trafik Udara Mesir berkata, juruterbang pesawat Airbus A321 dalam komunikasi terakhir memberitahu pesawat itu mengalami masalah radio.
Pesawat Kogalymavia dengan 214 penumpang warga Rusia, tiga lagi penumpang Ukraine dan tujuh anak kapal yang berlepas dari tempat peranginan Sinai Laut Merah Sharm el-Sheikh ke St Petersburg, Rusia. - AFP

Kotak Hitam Pesawat Rusia Terhempas Akan Diperiksa


Diterbitkan: Ahad, 1 November 2015 6:01 PM
Perdana Menteri Mesir, Sherif Ismail (tiga, kanan) melihat perakam penerbangan (kotak hitam) di lokasi bangkai pesawat Rusia A321 yang terhempas di Semenanjung Sinai, Mesir pada Sabtu. Foto AFP

KAHERAH: Pasukan penyiasat Mesir dan Rusia akan memulakan pemeriksaan terhadap kandungan dua kotak hitam yang ditemui dari pesawat Rusia yang terhempas di Semenanjung Sinai di Mesir pada Sabtu, kata sumber.
Sumber berkata, pemeriksaan akan dilakukan di kementerian penerbangan awam di Kaherah. 
Pada Jumaat lalu, sebuah pesawat Rusia yang membawa 224 penumpang dan anak kapal terhempas di semenanjung Sinai, Mesir.
Dilaporkan, pesawat Airbus A- 321, yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Rusia Kogalymavia dengan nombor pendaftaran KGL- 9268 , berlepas dari lokasi peranginan di  Sharm el -Sheikh ke St Petersburg sebelum terhempas di kawasan pergunungan terpencil di tengah Sinai.

Syarikat Air France, Lufthansa hentikan penerbangan ke Mesir


PARIS – Air France dan Lufthansa kelmarin menyatakan mereka akan menghentikan penerbangan melalui Semenanjung Sinai di Mesir selepas sebuah pesawat penerbangan milik Rusia terhempas di kawasan tersebut menyebabkan kesemua 224 penumpang dan anak kapalnya terbunuh.
Kedua-dua syarikat penerbangan itu memaklumkan mereka mengambil tindakan tersebut sebagai langkah berjaga-jaga sementara punca nahas disiasat.
Sekutu kumpulan Islamic State (IS) di Mesir mendakwa kononnya mereka yang menembak jatuh pesawat tersebut, tanpa menyatakan kaedahnya, tetapi Menteri Pengangkutan Rusia menyatakan dakwaan itu ‘tidak boleh dianggap sebagai tepat’ dan pegawai keselamatan Mesir pula menegaskan punca kemalangan bukan disebabkan serangan pengganas.
Seorang jurucakap Air France memberitahu agensi berita AFP mereka tidak akan terbang melintasi Sinai sehingga menerima makluman lanjut sebagai langkah berjaga-jaga sementara pengesahan diperolehi berkaitan punca nahas itu berlaku.
Lufthansa memaklumkan kepada akhbar Jerman, Die Welt bahawa mereka juga akan mengambil langkah serupa di atas sebab yang sama.
Beberapa pakar ketenteraan memberi­tahu AFP bahawa militan IS di Sinai tidak mempunyai sebarang senjata yang mampu menembak jatuh pesawat pada ketinggian 9,000 meter iaitu kedudukan pesawat Rusia tersebut ketika terputus hubungan.
Bagaimanapun, mereka tidak menolak kemungkinan terdapat sebuah bom di dalam pesawat itu atau kebarangkalian pesawat tersebut ditembak dengan sebuah roket ketika mengurangkan ketinggian disebabkan masalah teknikal.
Seorang pegawai kanan trafik udara Mesir berkata, juruterbang pesawat Airbus A321 itu memaklumkan dalam komunikasi terakhir mereka bahawa dia berdepan masalah radio.
Penerbangan Kogalymavia dengan 214 penumpang dari Rusia, tiga dari Ukraine dan tujuh anak kapal itu berlepas dari resort Laut Merah Sharm El-Sheikh di selatan Sinai menuju ke Saint Petersburg, Rusia. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1102&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3qHTM9nGv 
Hakcipta terpelihara 

1 November 2015

Putin arah pasukan kecemasan ke Mesir


PRESIDEN Russia, Vladimir Putin. - Foto Reuters 

SABTU, 31 OKTOBER 2015 @ 7:03 PM

MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin mengarahkan kementerian kecemasan negara itu menghantar pasukan khas ke Mesir di mana pesawat Airbus A321 Russia yang membawa 244 penumpang dan anak kapal terhempas di kawasan pergunungan di Hassana, Sinai, Mesir, hari ini.
"Ketua negara sudah mengeluarkan arahan untuk menghantar pasukan kementerian kecemasan ke Mesir segera untuk bertugas di lokasi pesawat terhempas," menurut satu kenyataan dikeluarkan Kremlin.
Putin juga mengarahkan kerajaannya menawarkan bantuan segera, selain mengucapkan takziah kepada semua waris mangsa yang terbunuh dalam nahas berkenaan.
Sementara itu, satu jawatankuasa siasatan Russia sudah memulakan siasatan di bawah peraturan berhubung pelanggaran penerbangan dan persiapan terhadap syarikat penerbangan Kogalymavia Airlines. - Agensi

Pesawat Russia terhempas: Tiada mangsa yang selamat


WARIS keluarga penumpang pesawat Airbus A321 Russia yang terhempas di kawasan pergunungan di Hassana, Sinai, Mesir, hari ini, menangis di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulkovo II, St. Petersburg, Russia. - Foto EPA
KAHERAH: Pegawai tentera dan pihak keselamatan Mesir mengesahkan tiada mangsa yang selamat dalam nahas pesawat Airbus A321 Russia, yang terhempas di kawasan pergunungan di Hassana, Sinai, di Mesir, hari ini.
Ini bermakna semua 224 penumpang dan kru pesawat terkorban dalam nahas itu. Ia membabitkan tujuh kru dan 217 penumpang, yang terdiri daripada 214 warga Russia, manakala selebihnya adalah rakyat Ukraine.
Daripada jumlah keseluruhan 217 penumpang itu, 138 mangsa adalah wanita, 62 lelaki dan 17 kanak-kanak.
Sementara itu, setakat kini, 15 mangsa nahas pesawat itu sudah dijumpai dan dan dibawa ke rumah mayat Zeinhom di Kaherah.
"Perdana Menteri Mesir, Ismail Sharif, akan meninjau lokasi nahas," menurut satu kenyataan dikeluarkan kerajaan negara itu.
Presiden Russia, Vladimir Putin, mengisytiharkan esok sebagai hari berkabung berikutan nahas udara yang mengorbankan ramai rakyat negara itu. - AGENSI

Airbus Russia alami masalah teknikal, bukan ditembak - Penyiasat





PESAWAT Airbus A321 Russia yang terhempas di kawasan pergunungan di Hassana. - Sumber theguardian.com


KAHERAH: Pesawat Airbus A321 Russia yang terhempas di kawasan pergunungan di Hassana, Sinai, Mesir, hari ini dilaporkan mengalami masalah teknikal dan bukan ditembak jatuh.
Ia dimaklumkan ketua jawatankuasa pemantau nahas Mesir, Ayman Al-Mokadem seperti dipetik portal berita Mesir, Ahram Online.
Al-Mokadem berkata, kapten pesawat berkenaan ada memaklumkan mengenai kegagalan teknikal yang dialami pesawat itu kepada pengawal trafik udara (ATC) Mesir, sebelum ia dilaporkan hilang daripada radar.
Katanya, juruterbang pesawat juga cuba melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Al-Arish di utara Sinai, sebelum nahas itu.
Satu pasukan penyiasatan penerbangan kini dalam perjalanan ke lokasi nahas, untuk mendapatkan kotak hitam bagi mengenalpasti punca sebenar nahas itu.
Jumlah kematian rasmi masih belum diumumkan setakat ini.

DATA penerbangan Flightradar24.com menunjukkan laluan pesawat Airbus A321 membawa 217 penumpang yang berlepas dari pusat peranginan Sharm el-Sheikh, Mesir ke St Petersburg, Russia sebelum disahkan terhempas di Sinai.
Sementara itu, AFP yang memetik pegawai keselamatan Mesir, melaporkan pasukan penyelamat dan ambulans sudah tiba di lokasi nahas dan dalam usaha memindahkan semua mangsa,
Pihak Russia juga dilaporkan akan menghantar pasukan penyelamat ke Mesir bagi membantu operasi menyelamat, selain pihak Israel yang turut menawarkan khidmat sama.
Seorang pegawai keselamatan Mesir yang tiba di tempat kejadian, hari ini mengesahkan pesawat membawa 217 penumpang itu musnah dan hampir semua penumpang dipercayai terkorban.
Pesawat itu terhempas di kawasan pergunungan di tengah Sinai dan hilang dari radar ketika terbang pada ketinggian 31,000 kaki. - Agensi

Mesir, Russia tolak dakwaan IS dalang pesawat terhempas

PERDANA Mneteri Mesir, Sherif Ismail ketika melihat kawasan nahas di Sinai. - Foto REUTERS
AHAD, 1 NOVEMBER 2015 @ 9:48 AM
KAHERAH: Pihak berkuasa Mesir menolak kemungkinan sebuah pesawat komersial Russia yang terhempas di Semenanjung Sinai, pada Sabtu dan mengorbankan semua 224 orang dalamnya adalah angkara kumpulan militan Negara Islam (IS).
IS di Mesir mendakwa ia bertanggungjawab terhadap kemusnahan pesawat itu, milik syarikat Kogalymavia dan menggunakan nama penerbangan Metrojet, tetapi tidak menyatakan maklumat lanjut menyebabkan Mesir dan Russia menolak dakwaan itu.
Perdana Menteri Mesir, Sharif Ismail, berkata pakar sudah mengesahkan pesawat itu tidak boleh ditembak jatuh pada paras penerbangannya ketika itu, 31,000 kaki manakala Menteri Pengangkutan Russia, Maxim Sokolov berkata dakwaan IS itu tidak tepat.
Dalam pada itu, syarikat penerbangan Lufthansa, Emirates dan Air France mengumumkan menghentikan laluan penerbangan Sinai sehingga punca nahas pesawat Russia itu ditentukan.
Mac lalu, Jabatan Penerbangan AS menasihatkan pesawat awam negara itu mengelak terbang di kawasan Sinai lebih rendah daripada paras 26,000 kaki.
Ketika nahas itu, pesawat Kogalymavia dengan nombor penerbangan 9268, putus hubungan dengan menara kawalan 23 minit selepas berlepas dari resort Sharm el-Sheikh di Laut Merah menuju ke Saint Petersburg.
Serpihan pesawat dan mayat penumpang ditemui di satu kawasan seluas enam hingga lapan kilometer, kira-kira 100 kilometer dari bandar El-Erish, kata pegawai Mesir. - AFP

Mesir imbas piramid guna sinar kosmik



KAHERAH: Sekumpulan pakar Mesir dan asing melancarkan cubaan baharu mendedahkan 'rahsia' piramid. Projek itu membabitkan pencarian ruang tersembunyi di dalam empat monumen terkenal zaman Firaun berkenaan, menggunakan termografi infra merah, imbasan 3D bersama laser serta pengesan sinar kosmik.
Saintis dan arkitek dari Mesir, Perancis, Kanada dan Jepun mahu memetakan dua piramid di Giza dan dua piramid Dahshur, di selatan ibu kota ini.
Teknologi sama, kata mereka, mungkin juga dapat membantu pencarian makam tersembunyi Tutankhamun yang mungkin milik Permaisuri Nefertiti.
Menteri Antikuiti Mesir, Mamduh al-Damati mengumumkan dalam sidang media, kumpulan khas itu akan mengkaji piramid berkenaan untuk melihat jika masih ada ruang tersembunyi atau rahsia di dalamnya.
"Jurutera dan arkitek ini akan menjalankan tinjauan menggunakan teknologi bukan pemusnah yang tidak akan menjejaskan piramid," katanya.
Pakar berkata, kajian itu dikenali sebagai 'Scan Pyramids' adalah cubaan baharu untuk memahami bagaimana monumen itu dibina pada asalnya.
Kebanyakan misi sebelumnya cuba untuk mendedahkan misteri di sebalik piramid, namun saintis masih belum menemui satu teori konkrit menjelaskan bagaimana struktur itu dibina.
Piramid Khufu, juga dikenali sebagai Piramid Agung Giza, tertinggi berbanding semua piramid, dibina oleh anak lelaki Snefru, pengasas dinasti keempat (2,575 hingga 2,465 Sebelum Masihi) dan piramid Khafre atau Chephren dibina oleh anak lelaki Khufu.
Dua piramid di Dahshur dibina oleh Snefru.
Pengasas Institut HIP berpusat di Paris, Mehdi Tayoubi, berkata idea projek itu ialah mencari penyelesaian terhadap misteri piramid.
"Satu cubaan sama dibuat 30 tahun lalu, namun ini adalah projek pertama di peringkat global menggunakan teknologi terkini bagi melihat persekitaran dalam piramid," katanya.
Projek 'Scan Pyramids' itu dijangka berlangsung hingga akhir tahun 2016.
Pakar arkeologi tidak pernah menemui mumia jelitawan lagenda itu (Nefertiti), namun pakar kaji purba British, Nicholas Reeves berkata dalam satu kajian baharu, makamnya mungkin berada dalam ruang rahsia bersambungan dengan makam Tutankhamun di Lembah Raja di Luxor, selatan Mesir.
Reeves, yang berada di Luxor September lalu untuk menyiasat teorinya, percaya satu pintu dalam kamar Tutankhamun mungkin mendedahkan makam Nefertiti.- Agensi

Mesir, Russia tolak dakwaan IS dalang pesawat terhempas

AHAD, 1 NOVEMBER 2015 @ 9:48 AM
PERDANA Mneteri Mesir, Sherif Ismail ketika melihat kawasan nahas di Sinai. - Foto REUTERS
KAHERAH: Pihak berkuasa Mesir menolak kemungkinan sebuah pesawat komersial Russia yang terhempas di Semenanjung Sinai, pada Sabtu dan mengorbankan semua 224 orang dalamnya adalah angkara kumpulan militan Negara Islam (IS).
IS di Mesir mendakwa ia bertanggungjawab terhadap kemusnahan pesawat itu, milik syarikat Kogalymavia dan menggunakan nama penerbangan Metrojet, tetapi tidak menyatakan maklumat lanjut menyebabkan Mesir dan Russia menolak dakwaan itu.
Perdana Menteri Mesir, Sharif Ismail, berkata pakar sudah mengesahkan pesawat itu tidak boleh ditembak jatuh pada paras penerbangannya ketika itu, 31,000 kaki manakala Menteri Pengangkutan Russia, Maxim Sokolov berkata dakwaan IS itu tidak tepat.
Dalam pada itu, syarikat penerbangan Lufthansa, Emirates dan Air France mengumumkan menghentikan laluan penerbangan Sinai sehingga punca nahas pesawat Russia itu ditentukan.
Mac lalu, Jabatan Penerbangan AS menasihatkan pesawat awam negara itu mengelak terbang di kawasan Sinai lebih rendah daripada paras 26,000 kaki.
Ketika nahas itu, pesawat Kogalymavia dengan nombor penerbangan 9268, putus hubungan dengan menara kawalan 23 minit selepas berlepas dari resort Sharm el-Sheikh di Laut Merah menuju ke Saint Petersburg.
Serpihan pesawat dan mayat penumpang ditemui di satu kawasan seluas enam hingga lapan kilometer, kira-kira 100 kilometer dari bandar El-Erish, kata pegawai Mesir. - AFP