16 October 2015

Silap puji permainan video


Kaherah: Seorang pembaca berita Mesir menjadi bahan ketawa selepas memuji serangan udara Russia di Syria berdasarkan rakaman yang sebenarnya daripada permainan video.

Ketika membaca berita pada waktu malam, Ahmed Moussa mengambil kesempatan memuji ‘kejayaan’ serangan Russia di Syria, malah mendakwa mempunyai rakaman yang membuktikan kehebatan negara itu berbanding semua tentera bersekutu lain di rantau itu.

Malangnya, rakaman digunakan bukan dari pertempuran di Syria atau peperangan lain, sebaliknya permainan simulasi penerbangan dalam pertempuran dirakam lima tahun lalu.

Ahmed yang mempunyai rancangannya sendiri di rangkaian Sada el Balad Mesir terkenal dengan pendirian prokerajaannya, dan dalam siaran lewat Ahad (waktu tempatan) itu, dia dilihat memaklumkan penonton bahawa ‘Russia tidak main-main bagi isu membabitkan Negara Islam (IS), tidak seperti Amerika Syarikat (AS).’

“Ya inilah tentera Russia dan senjata Russia. Inilah Putin. Sebentar lagi anda akan menyaksikan video yang menakutkan - amat menakutkan,” katanya.

Malangnya, klip video itu sebenarnya berada di YouTube sejak 2010 dan diambil daripada permainan video simulasi pertempuran, Apache Air Assault, yang dikeluarkan syarikat Russia lima tahun lalu.

Disebabkan itu, Ahmed menjadi bahan jenaka di media sosial Mesir dengan pengguna Twitter memuat naik gambar skrin daripada klip video popular lain, termasuk Mario Kart dan Donkey Kong yang digelar ‘laporan Ahmed Moussa.’ - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 6:37 AM

GELAGAT Ahmed ketika rancangan itu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/85488#sthash.Ve6JAOy1.dpuf