30 August 2015

Wartawan al-Jazeera dihukum penjara


Wartawan al-Jazeera dihukum penjara

30 OGOS 2015
Wartawan al-Jazeera dihukum penjara Dari kiri, Baher Mohamed, Mohamed Fahmy dan Peter Greste dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh mahkamah Mesir, semalam.

KAHERAH - MESIR. Tiga wartawan al-Jazeera dihukum penjara tiga tahun kerana dituduh menyokong dan menyalurkan bantuan kepada organisasi pengganas di Mesir.

Hukuman ke atas Baher Mohamed seorang warga tempatan bersama warga Kanada, Mohamed Fahmy dan Peter Greste dari Australia diumumkan sebuah mahkamah di Kaherah, semalam.

Fahmy pula dikenakan hukuman tambahan selama enam bulan penjara kerana memiliki satu kelonsong peluru.

Hakim Hassan Farid dalam keputusannya berkata, semua defendan dihukum penjara kerana tidak berdaftar dengan sindiket wartawan di negara ini.

Tambahnya, wartawan terbabit membawa masuk peralatan tanpa kebenaran pegawai keselamatan selain menyebarkan berita palsu.

Sementara itu, Greste yang tidak hadir semasa perbicaraan terkejut dengan keputusan berkenaan.

"Kami tidak melakukan sebarang pelanggaran salah laku. Mahkamah tiada bukti kukuh dan menuduh kami sebagai pengganas adalah tidak masuk akal," katanya di Sydney menurut laporan al-Jazeera.

26 August 2015

3 anggota polis terkorban, 33 cedera letupan bom di Mesir

SELASA, 25 OGOS 2015 @ 12:26 AM

KAHERAH: Sebutir bom meletup dalam bas yang membawa polis Mesir semalam, mengorbankan tiga anggota polis dengan mencederakan 33 mangsa lain, menurut pihak berkuasa. Ia adalah serangan terbaharu ke atas pasukan keselamatan yang menjadi sasaran militan. Serangan itu berlaku di wilayah Baheira, kawasan sebelah delta Sungai Nil kira-kira 260 kilometer di utara Kaherah ketika kumpulan anggota polis terbabit pergi kerja menaiki bas awam. "Tiga anggota maut termasuk seorang yang maut di hospital," kata jurucakap kementerian kesihatan, Hossam Abdel Ghaffar kepada AFP, ketika melaporkan pertambahan jumlah korban. "Seramai 33 anggota polis lain turut cedera dengan salah seorang masih kritikal." Pejuang jihad membunuh sejumlah besar anggota polis dan tentera sejak pemberontakan Islam selepas penggulingan presiden Mohamed Morsi, presiden pertama negara itu yang dipilih secara demokratik selepas penggulingan diktator, Hosni Mubarak. - AFP


KENDERAAN yang rosak selepas bom meletup di bangunan keselamatan kebangsaan di Shubra el-Kheima, Mesir, Khamis lalu. - Foto AP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/77107

24 August 2015

Penjara seumur hidup keenam


Kaherah: Ketua Ikhwanul Muslimin Mesir Mohamed Badie dan beberapa tokoh pergerakan itu dipenjara seumur hidup semalam atas tuduhan membunuh dan menghasut keganasan.

Mohamed berdepan dengan beberapa perbicaraan dan sehingga ini sudah dijatuhkan dua hukuman mati dan lima hukuman penjara seumur hidup dalam kes berasingan yang masih menanti keputusan rayuan.

Hukuman terbaru kelmarin berkait dengan serangan terhadap sebuah balai polis di bandar Pelabuhan Said pada 2013 yang menyebabkan lima orang terbunuh ketika keganasan melanda seluruh Mesir selepas tentera menggulingkan Presiden Mohamed Mursi.

Pegawai kanan Ikhwan Mohamed El-Beltagy, ulama Safwat Hegazy dan 16 yang lain juga dihukum penjara seumur hidup.

Dua puluh lapan lagi anggota Ikhwan pula dipenjara sehingga 10 tahun sementara 68 dibebaskan dan 78 dipenjara seumur hidup tanpa kehadiran mereka.

Kerajaan Mesir pimpinan Presiden Abdel Fatah el-Sisi mengisytiharkan Ikhwan sebagai kumpulan pengganas tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 7:17 AM

MOHAMED Badie ketika di mahkamah di Kaherah, kelmarin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/72531#sthash.W4Oxr7jB.dpuf

20 August 2015

IS mengaku serang bangunan polis di Kaherah

KHAMIS, 20 OGOS 2015 @ 6:01 PM

 SEORANG pegawai keselamatan menjaga tapak letupan bom di bangunan kerajaan di Shubra Al-Khaima, di pinggir Kaherah. - Foto REUTERS

 KAHERAH: Kumpulan militan IS mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan bom ke atas sebuah bangunan polis di Shubra di sini yang mencederakan 29 orang, termasuk enam anggota polis. "Askar IS berjaya menyasarkan sebuah bangunan polis dengan bom kereta di tengah Kaherah," menurut kenyataan IS yang disiarkan melalui akaun Twitter kumpulan itu. Bangunan itu menempatkan pusat siasatan ancaman kepada keselamatan negara. Jurucakap Kementerian Kesihatan, Hossam Abdel Ghaffar, berkata serangan itu mencederakan 29 orang termasuk enam anggota polis. "Seorang anggota polis mengalami kecederaan parah dan selebihnya hanya mengalami kecederaan ringan," katanya. Kumpulan IS kerap menyerang pasukan keselamatan di negara itu sejak pihak tentera menggulingkan Presiden Mohamed Morsi pada 2013. IS menganggap tindakan mereka ini sebagai membalas dendam kerana tindakan keras polis menyasarkan penyokong Morsi dengan menyebabkan beratus-ratus orang terbunuh dan beribu lagi dipenjarakan. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/76105

18 August 2015

Mesir sahkan undang-undang anti keganasan


18 OGOS 2015
Mesir sahkan undang-undang anti keganasan

Mesir sahkan undang-undang anti keganasan Al-Sisi melihat seorang kanak-kanak mengibarkan bendera Mesir ketika majlis memperkenalkan laluan air baharu di Terusan Suez. - Foto AFP
KAHERAH - MESIR. Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi telah mengesahkan undang-undang anti keganasan yang menetapkan denda tinggi dan digantung kerja jika membuat laporan palsu mengenai serangan militan.

Pengesahan diumumkan dalam warta rasmi semalam, menetapkan denda sebanyak AS$25,000 (RM102,000) dan maksimum AS$62,000 (RM255,000) terhadap sesiapa yang menyalah tafsirkan kenyataan kerajaan dalam penerbitan atau menyebarkan laporan palsu berhubung serangan atau operasi keselamatan menentang militan.

Ia juga menggariskan hukuman mati bagi mereka yang disabitkan memimpin kumpulan pengganas atau membiayai serangan.

Difahamkan, Undang-undang yang diluluskan kelmarin bertujuan menghalang orang ramai menghasut atau bersedia untuk menghasut sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Undang-undang baharu itu juga membolehkan mahkamah untuk mencegah pesalah daripada mengamalkan profesion sama untuk tempoh tidak lebih daripada setahun.

Meskipun, undang-undang tidak secara khusus menyebut kewartawanan, namun ia menimbulkan kebimbangan di kalangan pengamal media yang bimbang mereka boleh dibicarakan berdasarkan laporan yang disiarkan. - Press TV

Mesir lulus peraturan kontroversi


Abdel Fattah al-Sisi

Abdel Fattah al-Sisi
KAHERAH 17 Ogos – Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi menguatkuasakan satu undang-undang kontroversi berhubung antikeganasan yang menetapkan denda tinggi dan kemungkinan penggantungan tugasan terhadap pihak yang memberi laporan ‘palsu’ tentang serangan militan.
Proses meluluskan undang-undang tersebut dipercepatkan susulan kes pembunuhan seorang peguam negara dalam serangan bom kereta pada hujung bulan Jun lalu dan serangan besar-besaran oleh kumpulan militan di Semenanjung Sinai beberapa hari kemudian.
Pihak tentera menyuarakan kemarahan terhadap media yang bertindak melaporkan berpuluh-puluh askar kerajaan maut dalam serangan di Sinai, sedangkan angka rasmi adalah 21 kematian di pihak tentera dan berpuluh-puluh anggota militan maut.
Peraturan itu disiarkan menerusi akhbar kerajaan dengan menetapkan denda minimum sebanyak AS$25,000 (RM99,232) dan denda maksimum AS$50,000 (RM198,646) bagi pihak yang mengabaikan kenyataan kerajaan atau menyebarkan maklumat palsu berhubung serangan atau operasi ketenteraan terhadap militan.
Undang-undang antikeganasan terbabit turut menetapkan klausa tambahan iaitu membenarkan mahkamah untuk menghalang pesalah daripada meneruskan tugasan untuk tempoh tidak lebih daripada setahun jika jenayah yang dilakukan melanggar prinsip pekerjaan tersebut.
Namun klausa itu tidak merujuk tugasan atau pekerjaan tersebut sebagai bidang kewartawanan.
Selain itu, hukuman mati menanti pesalah yang didapati mengetuai kumpulan pengganas atau serangan kewangan berdasarkan undang-undang tersebut.
Pada asalnya, Kaherah mencadangkan untuk mengenakan hukuman penjara kepada pesalah, tetapi usul berkenaan dikritik hebat oleh media Mesir.
Kumpulan pengkritik kerajaan menyifatkan langkah kontroversi itu mungkin menyebabkan syarikat kecil akhbar menghentikan operasi, manakala syarikat yang lebih besar tidak bebas melaporkan isu serangan atau operasi menentang militan. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mesir-lulus-peraturan-kontroversi-1.125572#sthash.NMF1pSnj.dpuf

17 August 2015

Peguam rayu hukuman mati ke atas Mursi

mohamed Mursi ketika berada di kandang tertuduh semasa perbicaraannya

Mohamed Mursi ketika berada di kandang tertuduh semasa perbicaraannya di mahkamah Kaherah, Mesir pada 3 Mac lalu. AGENSI
KAHERAH 16 Ogos – Barisan peguam yang mewakili bekas Presiden Mesir, Mohammed Mursi semalam memfailkan rayuan terhadap hukuman mati dan hukuman penjara seumur hidup ke atasnya yang dijatuhkan mahkamah pada Jun lalu.
“Kami mengemukakan rayuan kepada mahkamah terhadap semua banduan yang dijatuhi hukuman termasuk Mursi,’’ kata peguam yang mewakili bekas Pre­siden yang digulingkan tentera itu, Abdel Moneim Abdel Maqsud.
Mursi yang digulingkan oleh tentera Mesir pada Julai 2013 dijatuhi hukuman mati pada Jun lalu kerana didakwa lari dari penjara dan melakukan keganasan ke atas polis serta penjara seumur hidup kerana mengintip.
Beliau ditahan tanpa sebarang pertuduhan semasa kebangkitan rakyat terhadap bekas Presiden Hosni Mubarak pada 2011 dan me­larikan diri dari penjara bersama ribuan banduan yang lain selepas penunjuk perasaan menyerang balai polis di seluruh negara.
Bekas Presiden itu tidak ber­depan sebarang hukuman kerana perbuatannya lari dari penjara, sama ada sebelum atau semasa pemerintahannya sebagai Presiden yang bermula pada Jun 2012.
Selepas digulingkan pada Julai 2013, Mursi menghabiskan tempoh dua tahun ditahan di dalam penjara.
Mursi belum melantik sebarang peguam untuk mempertahankan dirinya dan enggan mengiktiraf keputusan mahkamah dengan menyifatkan beliau masih kekal sebagai Presiden Mesir yang sah.
Kebanyakan anggota pergerakan Ikhwanul Muslimin dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah kerana terlibat dalam tindakan kekerasan selepas Mursi digulingkan, namun kebanyakannya memenangi kes mereka selepas perbicaraan semula. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/peguam-rayu-hukuman-mati-ke-atas-mursi-1.125096#sthash.i56O00BE.dpuf

14 August 2015

Mesir bebas ahli politik pro-Mursi


14 OGOS 2015
Abul-Ela Mady

Abul-Ela Mady Abul-Ela Mady

KAHERAH - MESIR. Ahli politik pembangkang, Abul-Ela Mady dibebaskan, kelmarin selepas hampir dua tahun diletakkan di bawah tahanan praperbicaraan.

Abul-Ela, 57, diberkas selepas berdepan dakwaan berkaitan keganasan ketika protes tercetus antara penyokong dan penentang bekas Presiden digulingkan, Mohammed Mursi pada 2013.

Peguamnya memaklumkan pembebasan beliau tidak bermakna mahkamah akan menutup kes tersebut.

Abul-Ela pernah menganggotai Ikhwanul Muslim sebelum beliau membuat keputusan untuk keluar dari parti tersebut pada 1990-an kerana mahu menubuhkan parti Islam yang lebih liberal.

Beliau turut mengasaskan parti Wasat pada 2011.

Difahamkan, undang-undang Mesir menetapkan tahanan praperbicaraan hanya boleh ditahan selama 24 bulan, menurut laporan Reuters.

11 August 2015

24 maut suhu panas di Mesir


Suhu panas melampau di Mesir sehingga mencecah 47 darjah Celcius

Suhu panas melampau di Mesir sehingga mencecah 47 darjah Celcius menyebabkan 24 orang maut setakat ini. AGENSI
KAHERAH 10 Ogos – Seramai 24 orang maut, sementara 66 yang lain terpaksa dimasukkan ke hospital berikutan cuaca panas melampau di Kaherah dan beberapa tempat lain di Mesir.
Semua mangsa yang meninggal dunia dipercayai mengalami kekejangan haba ketika suhu di negara ini mencecah 47 darjah Celcius.
Seramai 15 orang maut di Kaherah, empat di Qalibiya dan dua lagi di wilayah Qena termasuk tujuh wanita yang berumur 60 ke atas.
Jurucakap Kementerian Kesihatan, Hossam Abdel Ghaffar berkata, 37 orang daripada 60 yang terlantar di hospital masih dalam keadaan kritikal akibat keletihan melampau berikutan cuaca panas itu.
“Suhu pada tahun ini naik mendadak berbanding tahun-tahun sudah, namun apa yang lebih membimbangkan ialah tahap kelembapan yang memberi kesan kepada orang ramai.
“Pendedahan kepada cuaca panas melampau itu yang membawa maut,” katanya.
Ketua Analisis Jabatan Meteorologi Mesir, Waheed Soudi juga mengesahkan bahawa suhu di ibu negara dan beberapa kawasan adalah lebih tinggi daripada yang sebelum ini.
“Suhu kali ini jauh lebih tinggi dengan peningkatan antara empat hingga lima darjah Celcius daripada apa yang biasanya dilihat, malah tahap kelembapan juga sangat tinggi pada bulan ini,” katanya. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/24-maut-suhu-panas-di-mesir-1.122953#sthash.YG14FaY4.dpuf

10 August 2015

Mursi dakwa makanan penjara tidak selamat

10 OGOS 2015

Mursi dakwa makanan penjara tidak selamat
Mursi
 KAHERAH - MESIR. Bekas presiden Mesir digulingkan, Mohammed Mursi yang ditahan sejak dua tahun lalu akan menjalani pemeriksaan perubatan atas permintaan beliau sendiri.

Kelmarin, agensi berita MENA melaporkan Mursi yang menghidap kencing manis mendakwa makanan yang diberikan kepadanya adalah sangat teruk dan tidak selamat untuk dimakan.

"Beliau dikhuatiri mengalami paras gula dalam darah yang rendah kerana enggan mengambil sebarang makanan di penjara," menurut laporan itu lagi.

Difahamkan melalui laporan Reuters, Mursi juga mengemukakan permintaan untuk bertemu dengan pasukan pembelaannya untuk berbincang mengenai lima insiden yang didakwa mengancam nyawanya.

Susulan daripada dakwaan itu, mahkamah mengarahkan pemeriksaan kesihatan dilakukan ke atas beliau.

Pergerakan Hamas gesa Mesir buka sempadan Rafah

Gambar fail bertarikh 16 September 2014 merakamkan anggota keselamatan

Gambar fail bertarikh 16 September 2014 merakamkan anggota keselamatan Mesir dan Palestin mengawal sempadan Rafah yang merupakan laluan keluar masuk antara Gaza dan Mesir. AFP
GAZA CITY 9 Ogos – Pergerakan Hamas yang mentadbir wilayah Gaza, menggesa kerajaan Mesir membuka sempadan Rafah bagi membolehkan beribu-ribu rakyat Palestin di wailayah itu mendapatkan rawatan di luar negara.
Dalam kenyataan yang disiarkan semalam, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Hamas, Iyad al-Bozum berkata, kira-kira 20,000 rakyat Palestin di Gaza berdepan krisis kemanusiaan dan nasib mereka bergantung kepada pembukaan sempadan Mesir-Gaza itu.
Bozum turut memberi amaran, tindakan pihak berkuasa Mesir menutup sempadan itu secara berte­rusan akan mengancam nyawa beribu-ribu penduduk Palestin yang memerlukan pembedahan segera akibat komplikasi jantung atau kanser.
“Kerajaan Mesir harus sedar tentang masalah kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza dan perlu membuka sempadan dengan segera bagi menyelamatkan nyawa penduduk Palestin,” katanya se­perti dilaporkan portal Press TV.
Kira-kira 1.8 juta penduduk Gaza berdepan krisis kemanusiaan yang teruk sejak 2007 ekoran tindakan rejim Zionis mengenakan sekatan darat, udara dan laut, menyebabkan mereka kekurangan barangan asas seperti makanan, perubatan dan minyak.
Sempadan Rafah ditutup oleh kerajaan Mesir sejak Presiden Abdel Fattah al-Sisi menggulingkan Presiden Mohammed Mursi pada Julai 2013.
Kaherah memberi alasan ke­selamatan sebagai faktor sempadan tersebut ditutup yang merupakan satu-satunya laluan keluar-masuk penduduk Gaza bagi mengelakkan sekatan Israel.
Jun lalu, kerajaan Mesir hanya membuka laluan sempadan Rafah selama empat hari sempena sam­butan bulan Ramadan.
Kerajaan pimpinan Abdel Fattah menuduh Hamas membantu kumpulan militan melakukan keganasan di negara itu tetapi Hamas menafikan sebarang penglibatan dalam operasi militan di Mesir.
“Hamas dan penduduk Gaza tidak ada terlibat dengan keganasan di Mesir,” kata Iyad dalam ke­nyataannya pada Oktober lalu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pergerakan-hamas-gesa-mesir-buka-sempadan-rafah-1.122601#sthash.YuNszUck.dpuf

7 August 2015

Mesir buka laluan Terusan Suez

Mesir buka laluan Terusan Suez
Projek pembesaran Terusan Suez tersebut dilakukan sejak tahun lalu.
7 OGOS 2015
 KAHERAH - MESIR. Kerajaan Mesir, semalam merasmikan pembukaan Terusan Suez yang baharu dan berharap projek tersebut akan meningkatkan lagi ekonomi negara terbabit.
Upacara perasmian tersebut dilakukan Presiden Abdel Fattah al-Sisi dan turut dihadiri beberapa pembesar asing termasuk pemimpin dari Perancis, Cyprus, Bahrain, Jordan, Kuwait dan Sudan.
Media tempatan dpa melaporkan kerajaan turut mengisytiharkan cuti umum selain menyediakan perkhidmatan kereta api percuma bagi membolehkan orang ramai meraikan hari istimewa tersebut.
Tahun lalu, al-Sisi mengumumkan projek pembinaan laluan sepanjang 72 kilometer menelan kos AS$8.2 bilion (RM32 bilion) dibiayai sepenuhnya oleh pelabur tempatan yang melibatkan pembesaran dua laluan di sepanjang Terusan Suez tersebut.
Beliau mengarahkan projek tersebut disiapkan dalam tempoh setahun walaupun tarikh akhir diberikan selama tiga tahun.

Kanak-kanak, wanita terbunuh serangan di Sinai

RABU, 5 OGOS 2015 @ 12:35 AM




GAMBAR fail pada 2013 yang menunjukkan anggota militan Mesir memandu kenderaan melalui bandar Sinai, di utara Sheikh Zuweid. - Foto AFP

KAHERAH: Empat kanak-kanak dan seorang wanita terbunuh Selasa apabila serpihan meriam terkena rumah mereka di sebuah bandar di utara Sinai di mana tentera Mesir memerangi militan, kata pihak berkuasa keselamatan. Mereka berkata wanita dan kanak-kanak itu termasuk seorang bayi perempuan lapan bulan, terbunuh di bandar Sheikh Zuweid, manakala masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan turut cedera. Tidak jelas pihak mana yang melepaskan serangan oleh kerana kedua-dua tentera dan militan menggunakan senjata sama. Utara Sinai adalah kubu kuat kumpulan jihad "Wilayah Sinai" sebelum itu dikenali sebagai Ansar Beit al-Maqdis, ia menukar namanya apabila berikrar taat setia kepada militan Kumpulan Negara Islam (IS) November lalu. 1 Julai lalu, kumpulan itu melancarkan beberapa siri serangan ke atas pasukan keselamatan di Sheikh Zuweid yang dikatakan tentera mengorbankan 21 anggotanya. Militan berkata serangan mereka dilancarkan sebagai maklum balas ke atas tindakan keras pihak berkuasa selepas presiden puak Islam, Mohamed Morsi disingkirkan, yang menyaksikan sekurang-kurangnya 1,400 terkorban manakala ribuan lagi dipenjarakan. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/72451

6 August 2015

IS Mesir Ugut Sembelih Warga Croatia


Diterbitkan: Khamis, 6 Ogos 2015 9:28 AM

KAHERAH: Kumpulan Negara Islam (IS) di Mesir mengancam untuk melaksanakan hukuman mati terhadap mangsa culiknya yang merupakan warga Croatia jika banduan wanita yang ditahan kerajaan tidak dibebaskan dalam tempoh 48 jam.
Lelaki itu merupakan warga asing pertama diculik oleh militan selepas Mesir bergolak sejak dua tahun lalu.
Mangsa, Tomislav Salopek yang diculik pada bulan lalu merupakan pekerja syarikat geosains dari Perancis.
Dalam satu video yang didedahkan militan, Salopek berkata dia akan disembelih dalam tempoh 48 jam jika kerajaan Mesir tidak membebaskan banduan wanita yang ditahan di penjara.
Dia kelihatan membaca sekeping nota dalam keadaan melutut sambil seorang lelaki yang merupakan ahli kumpulan militan berdiri dibelakangnya dengan memegang pisau.
Salopek turut mendedahkan bahawa dia telah diculik pada 22 Julai lalu di Sinai, Mesir - kawasan bergolak yang ditawan IS.
Kumpulan penculik yang berikrar setia kepada IS pada November lalu itu sebelum ini dikenali sebagai Ansar Beit al-Maqdis.
Dalam pada itu, Menteri Luar Croatia, Vesna Pusic dilapor akan ke Kaherah untuk membincangkan mengenai perkara itu.