KAHERAH - MESIR. Polis Mesir berkata pihaknya telah menyerbu sebuah apartmen di Kaherah kelmarin, bagi memburu anggota Ikhwanul Muslimin.

Dalam serbuan tersebut, sembilan anggota pergerakan itu terbunuh termasuk pemimpin kanan, Nasser al-Hafi.

Pegawai keselamatan berkata, kesemua yang terbunuh dilabel pengganas dan diburu kerana terlibat dalam vandalisme dan keganasan.

"Berlaku insiden berbalas tembakan sebaik polis tiba di tempat kejadian. Akibatnya, kesemua suspek yang berada di apartmen itu terbunuh," kata jurucakap polis.

Serangan terhadap anggota Ikhwan Muslimin itu menyusul hanya beberapa jam selepas lebih 60 askar rejim terbunuh dalam serangan militan di utara Semenanjung Sinai pada hari sama.

Dalam pada itu, Ikhwanul Muslimin dalam satu kenyataan di Twitter menafikan mangsa bersenjata ketika serbuan dilakukan.

Menurut pergerakan itu, semasa serbuan mangsa mengadakan pertemuan bagi membincangkan gerak kerja bagi membantu ahli keluarga mangsa kekejaman tentera Mesir dan tahanan politik.

Kenyataan itu memberitahu, kesemua mangsa telah dikepung beberapa jam sebelum dibunuh.

Surat mati yang dikeluarkan oleh pihak hospital pula menjelaskan pada tubuh mangsa terdapat kesan seksaan dan patah tulang.

Sejak penyingkiran Mohammed Mursi, pihak berkuasa Mesir menjalankan tindakan keras tanpa henti terhadap penyokong bekas presiden itu yang telah mengakibatkan ribuan terbunuh dan ratusan lagi ditangkap, malah Mursi sendiri dijatuhkan hukuman mati . - AFP