Sumber keselamatan berkata, seramai 15 orang terbunuh apabila sebutir bom kereta meletup di pusat pemeriksaan tentera di utara Sinai.
Seorang saksi berkata, dia mendengar letupan di Sheikh Zuweid dan Rafah, menyebabkan ramai penduduk tempatan melarikan diri dan meninggalkan rumah masing-masing.
Portal Al Jazeera melaporkan, seramai 70 orang anggota militan IS terlibat dalam sera­ngan tersebut, manakala seorang pegawai kerajaan yang enggan dikenali berkata, kumpulan militan juga menjadikan tentera kerajaan sebagai tawanan dan merampas beberapa buah kereta kebal.
Beratus-ratus anggota tentera dan polis terbunuh sejak tentera Mesir menggulingkan Presiden Mohammed Mursi selepas bantahan besar-besaran terhadap pemerintahannya, dua tahun lalu.
Awal minggu ini, seorang pegawai pendakwa dibunuh dalam serangan sebuah bom kereta ketika beliau dalam perjalanan ke Kahe­rah, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemam­puan kerajaan membendung penentang kerajaan.
Serangan terbaharu itu berlaku selepas Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi berikrar untuk menuntut keadilan terhadap pembunuhan pendakwa dan kemungkinan cubaan membunuh pemimpin Ikhwanul Muslimin.