NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Mesir berdepan kecaman antarabangsa selepas mengekalkan hukuman mati ke atas bekas presiden digulingkan, Mohammed Mursi dan puluhan lagi anggota Ikhwanul Muslimin yang didakwa melarikan diri dari penjara serta menyerang anggota keselamatan pada 2011.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menegaskan agensi antarabangsa tersebut menolak hukuman mati dalam apa jua keadaan.

"Keputusan selepas perbicaraan secara beramai-ramai itu dikhuatiri akan memberi impak negatif terhadap prospek kestabilan untuk jangka masa panjang di Mesir," katanya.

Sementara itu menurut laporan al-Jazeera, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyifatkan hukuman mati ke atas sekutu rapatnya dan beberapa pemimpin Ikhwanul termasuk Mursyidul Am, Mohamed Badie adalah 'pembunuhan' beramai-ramai ke atas undang-undang asas hak asasi manusia.

"Saya menggesa masyarakat antarabangsa supaya mendesak kerajaan Mesir untuk menarik balik keputusan tersebut. Tindakan seperti ini hanya akan meletakkan situasi keamanan di negara itu," tegasnya.

Kelmarin, mahkamah mengumumkan bahawa hukuman mati ke atas Mursi bersama lebih 90 anggota Ikhwanul dikekalkan selepas berunding dengan Mufti Besar Mesir.