13 May 2015

Bahana mulut celupar

Kaherah: Menteri Kehakiman Mahfouz Saber melepaskan jawatannya semalam selepas mencetuskan kemarahan orang ramai apabila mengeluarkan kenyataan panas mendakwa pekerjaan hakim terlalu mulia hingga tidak layak untuk anak tukang cuci.
Perdana Menteri Ibrahim Mahlab berkata, dia menerima peletakan jawatan itu, dua hari selepas kenyataan kontroversi berkenaan dibuat dalam wawancara di televisyen.
Kenyataan kontroversi Mahfouz itu berbunyi: “Hakim orang yang mulia serta bertaraf tinggi dan perlu datang daripada keluarga berdarjat. Sekiranya anak tukang cuci bekerja sebagai hakim, dia akan tertekan dan tidak dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik.”
Agensi berita kebangsaan MENA memetik Ibrahim sebagai berkata: “Kerajaan menghormati semua sektor masyarakat, terutama buruh dan pengkarya yang turut menyumbang dalam membina masa depan negara.”
Menurut Ibrahim yang ditemui ketika melakukan lawatannya ke Paris, menteri kehakiman itu membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya bagi menghormati pendapat awam dan menyesal kerana mengeluarkan kenyataan yang mengundang kemarahan itu.
Pengkritik yang tidak berpuas hati menggunakan media sosial, Twitter sebagai platform untuk menyelar pendapat Mahfouz dan meminta dia dipecat selepas wawancara itu disiarkan.
Menurut seorang pengguna: “Anak tukang cuci tidak layak bekerja dalam bidang kehakiman, tetapi dia sanggup mati di Sinai untuk mempertahankan anda.”
Kata-kata itu merujuk kepada kempen tentera terhadap militan di semenanjung Arab.
Sehubungan itu, bekas naib presiden Mohamed El Baradei mengingatkan mengenai hak piagam antarabangsa ke atas semua pekerja yang mereka mempunyai hak untuk memilih dalam pekerjaan.
“Apabila tiada keadilan dalam negara, maka tiada apa lagi yang tinggal,” tulisnya dalam Twitter.
Kenyataan Mahfouz bukan yang pertama kali mencetuskan kontroversi dalam negara dengan sekurang-kurang 26 peratus daripada penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan.
Tahun lalu, 138 permohonan perkhidmatan sebagai pendakwa ditolak kerana bapa calon tidak mempunyai kelulusan universiti walaupun perlembagaan Mesir melarang diskriminasi berdasarkan kelas mahupun jantina.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:12 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/50530#sthash.BfuW6d9g.dpuf

No comments:

Post a Comment