23 April 2015

Kata semangat untuk Mohamed Mursi

Doha: Ulama terkenal dunia, Dr Yusuf Al-Qaradawi menyelar keras keputusan mahkamah Mesir kelmarin yang menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun terhadap bekas presiden, Mohamed Mursi.
“Mohamed Mursi adalah presiden Mesir pertama yang dipilih menggunakan proses demokrasi sepenuhnya di Mesir.
“Dia adalah presiden yang berusaha keras untuk menjadikan Mesir mampu menghasilkan makanan, ubatan dan senjata sendiri.
“Mereka yang meraih untuk menjual Mesir kepada musuhnya pula yang bebas dan menikmati hasil usaha kerasnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, tuduhan terhadap Mohamed Mursi itu membabitkan kejadian di luar istana presiden namun apa tidak disebut adalah lapan anggota Ikhwanul Muslimin turut terkorban.
“Mereka terbunuh ketika menjaga istana daripada serangan perusuh manakala polis dan tentera yang sepatutnya mengawal tiada di situ.
“Namun mereka yang bertanggungjawab bagi lapan kematian itu tidak pula diadili,” katanya.
Dia mempunyai pesanan khas untuk Mohamed Mursi.
“Saya masih ingat kata-katamu bahawa untuk memerdekakan Mesir harganya adalah darah dan nyawamu.
“Kamu sudah siap mengorbankan nyawa dan darahmu demi agama, tanah air dan rakyatmu.
“Semoga Allah Taala meredaimu dan memenangkan Islam,” tambahnya lagi. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 7:33 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/45672#sthash.vKrJQSvb.dpuf

22 April 2015

Al-Azhar kecam IS

Al-Azhar kecam IS
IS mengeluarkan video terbaharu memaparkan perbuatan kejam mereka memenggal penganut Kristian Ethiopia di Libya.

KAHERAH - MESIR. Pihak berkuasa agama tertinggi Mesir, al-Azhar mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kumpulan militan IS melakukan pembunuhan kejam ke atas kira-kira 30 penganut Kristian Ethiopia di Libya.

Kenyataan itu dimuat naik menerusi akaun Facebook badan agama Islam terbabit sehari selepas IS mengeluarkan video berdurasi 20 minit memaparkan perbuatan tidak berperikemanusiaan mereka memenggal dan menembak mati kesemua mangsa.

"Ia sememangnya satu perbuatan jenayah kejam yang melanggar undang-undang dan mencabuli ajaran Islam. Langkah segera perlu diambil untuk mengembalikan semula keamanan dan kestabilan di Libya," tegasnya.

Pada Februari lalu, Mesir melancarkan serangan udara menyasarkan kedudukan IS di Libya selepas mereka memenggal 21 penganut Kristian Koptik yang diculik di bandar Sirte dalam dua serangan pada Disember dan Januari lalu.

Dalam satu kenyataan lain, Ahli Parlimen Iraq, Adel Khamis al-Mahlawi mendedahkan IS telah memenggal kira-kira 300 mangsa dan kebanyakannya adalah puak nomad di wilayah barat Anbar. - Press TV

21 April 2015

Mohammed Mursi dihukum penjara 20 tahun

Mohammed Mursi
Mohammed Mursi
KAHERAH - MESIR. Bekas Presiden Mesir, Mohammed Mursi dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun atas kesalahan menimbulkan keganasan dan pembunuhan penunjuk perasaan pada 2012.

Menurut CNN, Mohammed Mursi dibicarakan bersama 14 defendan yang lain, termasuk beberapa kakitangan yang bertugas di bawah pemerintahan beliau.

Hukuman dijatuhkan oleh hakim, Ahmed Sabry Youssef.

Mohamed Mursi dan defendan lain melaungkan "Allahuakhbar" selepas hukuman dijatuhkan.

Mohamed Mursi merupakan presiden Mesir pertama yang dilantik secara demokratik dan telah digulingkan oleh pihak tentera pada bulan Julai 2013.

20 April 2015

11 dihukum mati akibat rusuhan bola sepak


Kaherah: Mahkamah semalam menjatuhkan hukuman mati terhadap 11 peminat bola sepak selepas perbicaraan semula kes rusuhan stadium pada 2012 di Pelabuhan Said yang mengakibatkan 74 kematian.
Mahkamah Rayuan mengarahkan perbicaraan semula 73 tertuduh itu, Februari tahun lalu, selepas menolak hukuman diberikan mahkamah rendah yang memerintahkan 21 dihukum bunuh kerana terbabit dalam kejadian itu.
Rusuhan tercetus pada Februari 2012 apabila penyokong pasukan Al-Masry dan Al-Ahly bergaduh selepas perlawanan bola sepak antara dua kelab itu.
Sementara itu, hukuman semalam dirujuk kepada mufti besar Mesir. Mahkamah akan membuat keputusan akhir bagi mereka dan tertuduh lain pada 30 Mei ini.
73 tertuduh itu termasuk sembilan anggota polis dan tiga pegawai kelab Al-Masry, manakala selebihnya penyokong dua kelab terbabit.
Anggota keluarga tertuduh dan mangsa kejadian tidak menghadiri sesi mahkamah semalam yang diadakan di Kaherah atas sebab keselamatan. Keputusan itu masih boleh dirayu.
Kejadian di Pelabuhan Said 2012 berkenaan adalah rusuhan berkaitan dengan sukan paling buruk di Mesir di mana pergaduhan penyokong kelab kerap berlaku. - AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/44999#sthash.tQlwnY84.dpuf

Mursi berdepan hukuman mati

Kaherah: Bekas Presiden Mohamed Mursi berdepan hukuman mati Selasa ini atas tuduhan menghasut pembunuhan penunjuk perasaan, keputusan pertama kes terhadapnya selepas hampir dua tahun digulingkan.
Dia juga berdepan dengan hukuman sama dalam dua perbicaraan lain, termasuk satu yang membabitkan tuduhan mengintip untuk kuasa asing dan melarikan diri dari penjara ketika rusuhan anti-Mubarak pada 2011.
Keputusan berasingan terhadap dua kes itu dijadual diumumkan 16 Mei depan.
Pakar berkata, keputusan mati terhadap presiden Mesir yang pertama dipilih secara bebas tidak boleh ditolak memandangkan hakim sebelum ini menjatuhkan hukuman keras terhadap pegawai kanan Ikhwanul Muslimin, pergerakan Islam yang pernah diketuainya.
Mohamed Mursi digulingkan ketua tentera ketika itu yang kini Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi pada 3 Julai 2013 berikutan tunjuk perasaan besar-besaran terhadap pemerintahannya.
Keputusan esok membabitkan kes yang mendakwa Mohamed Mursi dan 14 defendan lain, tujuh daripada mereka masih diburu, membunuh tiga tunjuk perasaan dan mendera beberapa lagi ketika pertempuran di depan istana presiden pada 5 Disember 2012.
Hampir semua pemimpin Ikhwan dikenakan hukuman keras dan ia disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh kerajaan Mesir pada 2013. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 7:47 AM


Mohamed Mursi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/45001#sthash.MAZ0IMms.dpuf

17 April 2015

Pembantu Mursi dihukum penjara

Pembantu Mursi dihukum penjara
Rafaa (kanan) dihadapkan ke mahkamah bersama Mursi pada Disember lalu.

KAHERAH - MESIR . Pembantu kepada bekas Presiden Mesir, Mohammed Mursi, kelmarin dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas didapati bersalah menyalahgunakan kuasa.

Rafaa el-Tahtawi yang pernah berkhidmat sebagai ketua turus di bawah pemerintahan Mursi didakwa mengambil individu yang dilarang berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Jurucakap Mahkamah Jenayah di Kaherah memberitahu lelaki yang diambil bekerja oleh Rafaa itu adalah bekas banduan yang pernah meringkuk di dalam penjara pada 1990-an.

Difahamkan, lelaki tersebut juga dikenakan hukuman penjara 12 bulan oleh mahkamah kerana menerima jawatan itu.

Pada Sabtu lalu, mahkamah sama turut menjatuhkan hukuman mati ke atas Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Mohamed Badie bersama 11 lagi tertuduh yang didakwa menghasut keganasan selepas Mursi digulingkan pada Julai 2013.

Selain itu, seramai 23 defendan lain termasuk bekas jurucakap Ikhwanul, Gehad Haddad dihukum penjara seumur hidup atas kesalahan sama. - Press TV

12 April 2015

Ketua Ikhwanul Muslimin Dihukum Mati


Diterbitkan: Sabtu, 11 April 2015 6:33 PM
Mohamed Badie.

MESIR: Mahkamah Mesir mengesahkan hukuman mati terhadap ketua Ikhwanul Muslimin, Mohamed Badie dan 11 defendan lain pada Sabtu serta penjara seumur hidup ke atas seorang warga Amerika Syarikat-Mesir atas tuduhan melakukan keganasan.

Hakim Mohamed Nagy Shehata turut menjatuhkan mati ke atas dua defendan yang melarikan diri dan memutuskan hukuman penjara seumur hidup terhadap 23 tertuduh lain.

Semua defendan didakwa merancang demonstrasi keganasan dari ibu pejabat mereka di Kaherah selepas tentera menggulingkan Presiden dari Ikhwanul Muslimin, Mohamed Morsi pada Julai 2013.

Di antara mereka yang dipenjara seumur hidup ialah Mohamed Soltan, warga AS-Mesir yang melancarkan mogok lapar.

Bapanya ialah Salah Soltan antara 11 defendan yang dijatuhi hukuman mati.

Bekas jurucakap sayap politik Ikhwanul Muslimin, Gehad Haddad turut dipenjara seumur hidup iaitu selama 25 tahun.

Hukuman itu boleh dirayu di Mahkamah Agung yang sebelum ini menolak rayuan berpuluh hukuman mati.

Setakat ini, Mesir menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang ahli pertubuhan itu selepas Morsi digulingkan selepas didapati bersalah membunuh seorang remaja ketika demonstrasi keganasan pada Julai 2013.

Ketua Ikhwanul Muslimin dihukum mati


Kaherah: Sebuah mahkamah di Mesir semalam mengesahkan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap ketua Ikhwanul Muslimin, Mohamed Badie dan 11 lagi pengikutnya.
Mahkamah turut mengesahkan hukuman penjara seumur hidup terhadap seorang aktivis Mesir warga Amerika Syarikat, Mohamed Soltan.
Hakim Mohamed Nagy Shehata menjatuhkan hukuman mati terhadap dua aktivis yang melarikan diri ke luar negara dan hukuman penjara seumur hidup terhadap 23 tertuduh yang lain.
Semua mereka dituduh merancang aktiviti keganasan ketika kekacauan yang berlaku di Mesir selepas tentera menumbangkan Presiden Mohamed Morsi pada Julai 2013.
Bekas jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad Haddad antara anggota kumpulan itu yang dihukum penjara seumur hidup.
Mahkamah itu sebelum ini menjatuhkan hukuman mati terhadap berpuluh-puluh anggota Ikhwanul Muslimin atas pelbagai kesalahan.
Hukuman berkenaan boleh dirayu di mahkamah tertinggi di Mesir yang membatalkan berpuluh-puluh hukuman mati sebelum ini.-AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43216#sthash.HCS5ozbN.dpuf

3 April 2015

IS serang Sinai, 15 askar maut


SINAI 2 April – Sebanyak 15 anggota tentera maut dan 19 yang lain cedera dalam satu serangan yang dilakukan kumpulan militan Negara Islam (IS) ke atas sebuah pusat pemeriksaan tentera di wilayah bergolak di utara Mesir, di sini hari ini.
Pegawai keselamatan berkata, anggota kumpulan militan IS itu juga berjaya merampas dua buah kereta kebal serta menyebabkan tiga orang awam terkorban.
Katanya, IS turut melancarkan empat serangan lain ke atas beberapa pusat pemeriksaan tentera yang mengorbankan tiga orang awam dan mencederakan 13 yang lain.
Empat serangan itu bertujuan mengalihkan perhatian daripada serangan utama di selatan pusat pemeriksaan di bandar Sheikh Zuweid, kata mereka.
Pegawai berkata, militan IS turut menjadikan beberapa orang askar sebagai tebusan apabila mereka merampas dua kereta perisai sebelum melarikan diri.
Namun, militan gagal merampas kereta kebal Abrams buatan AS kerana anggota keselamatan berjaya memintas kenderaan itu di pusat pemeriksaan berhampiran, kata mereka. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/is-serang-sinai-15-askar-maut-1.76571#sthash.4sITOfZp.dpuf