2 March 2015

Pemimpin Mesir, Turki bertembung melawat Arab Saudi


AFP - ABDEL FATTAH (kiri) bertemu pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz di Riyadh semalam.


RIYADH – Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi tiba di Arab Saudi semalam dalam pertembungan sesi lawatan kerja antara beliau dan rakan sejawatnya dari Turki, Presiden Recep Tayyip Erdogan yang dituduh menyokong pertubuhan Ikhwanul Muslimin.
Erdogan yang tiba lebih awal kelmarin melawat kota suci Mekah untuk mengerjakan umrah. Namun, tiada maklumat yang menunjukkan kedua-dua pe­mimpin itu akan mengadakan pertemuan semasa mereka berada di sini.
Dalam satu temu ramah bersama saluran berita Arab Saudi, Al-Arabiya sebelum sesi lawatan tersebut, Abdel Fattah menjelaskan pertembungan sesi lawatan itu cuma satu kebetulan.
Bagaimanapun, beliau mengulangi seruan agar Turki berhenti mencampuri urusan dalaman Mesir dalam program temu bual tersebut. Hubungan antara dua pemimpin itu tegang selepas Abdel Fattah menggulingkan bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi pada 2013.

AFP - ERDOGAN (kiri) bertemu dengan Gabenor Jeddah, Putera Misha’al Majed di Jeddah semalam dalam lawatan kerjanya ke Arab Saudi.


Turki dan Qatar pernah dituduh menyokong pergerakan Ikhwanul Muslimin yang dianggotai Morsi. Pertubuhan itu te­lah diharamkan kerajaan baharu Mesir, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Lawatan Abdel Fattah itu juga dibuat selepas sebuah stesen televisyen satelit bulan lalu, mendedahkan rakaman audio yang menggambarkan beliau menuduh kerabat diraja di negara-negara Teluk mempunyai terlalu banyak duit dan sepatutnya disaluran sedikit kepada Mesir.
Presiden Mesir itu segera menghubungi sekutu-sekutunya selepas pendedahan tersebut bagi memberi penjelasan dan pemimpin negara-negara teluk termasuk di Arab Saudi bagi menjamin hubungan mereka kekal erat dan ‘strategik’.
Arab Saudi, UAE dan Kuwait merupakan penyokong kewangan terbesar kerajaan Abdel Fattah, menjanjikan bantuan sekitar AS$12 bilion (RM43.39 bilion) sejak beliau memegang kuasa.
Dalam temu ramah dengan Al-Arabiya itu, Abdel Fattah turut menegaskan hubungan dua hala antara Kaherah dan Riyadh kukuh dan tidak pernah ‘keruh’. –AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0302&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3TB6ZQmIn 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment