16 March 2015

Mesir pecat 41 hakim sokong Morsi


KAHERAH – Sebuah mahkamah disiplin Mesir mengarahkan seramai 41 hakim supaya bersara wajib kelmarin kerana menyokong kumpulan Ikhwanulmuslimin, menurut sumber kehakiman.
Pemerintah bertindak keras ke atas kumpulan Islam dan seteru politik lain sejak Julai 2013 apabila ketua tentera Mesir, Abdel Fattah al-Sisi menumbangkan Presiden Mohammed Morsi susulan protes besar-besaran terhadap pemerintahannya.
Majlis Disiplin yang diketuai Hakim Nabil Zaki tidak mendedahkan punca tindakan tersebut dilaksanakan tetapi sumber kehakiman memberitahu, seramai 31 hakim diperintahkan bersara kerana menandatangani satu kenyataan yang mengecam penggulingan Morsi.
"Sebanyak 10 hakim lagi diarah bersara kerana menyertai kumpulan Hakim Untuk Mesir yang menyokong Ikhwanulmuslimin sejak sebelum Morsi ditumbangkan," kata sumber berkenaan.
Undang-undang Mesir melarang hakim daripada mencampuri politik tetapi kumpulan-kumpulan hak asasi manusia berkata, mahkamah disiplin itu menutup sebelah mata jika hakim secara terbuka menyokong Sisi.
Beliau dilantik sebagai Presiden Mesir pada tahun lalu.
"Keputusan ini mengejutkan dan ibarat pembunuhan beramai-ramai terhadap hakim," kata seorang hakim yang dikenakan hukuman tersebut, Ahmed El-Khatib.
Dalam kejadian berasingan, pasukan keselamatan menangkap 63 pemimpin Ikhwanulmuslimin peringkat pertengahan kerana didakwa menyerang beberapa ibu pejabat polis dan menghasut orang ramai supaya melakukan keganasan.
"Seramai 13 penyokong Ikwanulmuslimin turut ditangkap kerana disyaki memiliki senjata api dan peluru," kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan kelmarin.
– REUTERS


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0316&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz3UVFpDLV2 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment