25 February 2015

15,000 rakyat Mesir tinggalkan Libya


SEKUMPULAN rakyat Mesir yang menetap di Libya tiba di Lapangan Terbang Djerba, Tunisia untuk menaiki pesawat ke Kaherah kelmarin.


KAHERAH – Hampir 15,000 warga Mesir menyeberangi sempadan Sallum untuk pulang ke tanah air susulan pembunuhan penganut Kristian Qibti oleh kumpulan Islamic State (IS), lapor media rasmi negara berkenaan kelmarin.
Jet pejuang Mesir dan Libya menyerang beberapa kedudukan IS di Libya pada minggu lalu selepas kumpulan militan itu menyiarkan satu rakaman video menunjukkan seramai 21 penganut Kristian Qibti telah dipancung.
Klip video itu disiarkan pada 15 Februari lepas.
Perkembangan tersebut mendorong Mesir menyeru ratusan ribu warganya yang bekerja di Libya sypaya meninggalkan negara tersebut.
Kaherah juga menyewa beberapa pesawat untuk membawa mereka pulang dari Tunisia yang turut berkongsi sempadan dengan Libya.
Sekurang-kurangnya 14,585 warga Mesir telah menyambut seruan itu dan pulang melalui lintasan sempadan Sallum di barat laut negara ini, lapor agensi berita MENA.
Menurut MENA, angka tersebut termasuk 3,018 warga Mesir yang melintasi pintu sempadan itu kelmarin tetapi laporan itu tidak mendedahkan bilangan penganut Kristian Qibti dalam kalangan mereka.
Terdahulu, seorang jurucakap Kementerian Pengangkutan Tunisia memberitahu sekurang-kurangnya 1,000 rakyat Mesir telah meninggalkan Libya sejak Jumaat lalu.
Seorang pegawai kastam Tunisia pula menyatakan sejumlah rakyat Mesir masih lagi menunggu di sempadan Libya untuk masuk ke negara itu.
Pada Julai lalu, beribu-ribu warga Mesir terkandas di sempadan Tunisia ketika cuba meninggalkan Libya ekoran pihak berkuasa di negara itu enggan membenarkan mereka masuk melainkan Kaherah menyediakan pengangkutan pulang.
Setakat tahun 2011, terdapat kira-kira 1.5 juta rakyat Mesir yang bekerja di Libya, kebanyakannya dalam industri pembinaan dan perkhidmatan sekali gusti pekerja asing teramai di negara yang kaya dengan sumber minyak itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0225&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3SldBwFus 
Hakcipta terpelihara 

Aktivis Mesir dipenjara lima tahun


24 Februari 2015

KAHERAH - MESIR. Seorang aktivis demokrasi terkemuka di Mesir dijatuhi hukuman penjara lima tahun semalam, selepas didapati bersalah menganjurkan perhimpunan haram.

Menurut DPA, Alaa Abdel Fattah juga didapati bersalah menyerang seorang anggota polis.

Abdel Fattah ditangkap pada November 2013, dua hari selepas demonstrasi diadakan di luar Parlimen bagi membantah perbicaraan penduduk awam oleh mahkamah tentera.

20 February 2015

Mesir terus beri amaran kepada IS


PRESIDEN Mesir, Abdel Fattah bersalaman dengan juruterbang dan petugas perubatan Tentera Udara Mesir berhampiran dengan sempadan di antara Mesir dengan Libya kelmarin.


KAHERAH – Presiden Abdel Fattah al-Sisi memberi amaran bahawa Mesir akan bertindak balas ke atas mana-mana militan yang cuba mengancam keselamatan negara itu.
Beliau berkata demikian ketika melawat kawasan bersempadan dengan Libya kelmarin selepas tentera Mesir mengebom beberapa sasaran kumpulan militan Islamic State (IS) di negara itu.
Abdel Fattah diiringi Menteri Pertahanan Mesir, Sedki Sobhi melawat sebuah pangkalan udara berhampiran sempadan tersebut untuk memantau langkah-langkah bagi menjamin keselamatan di sempadan.
Mesir buat pertama kali campur tangan secara langsung dalam konflik di Libya Isnin lalu selepas IS menyebarkan rakaman menunjukkan 21 orang warganya yang beragama Kristian dipancung.
“Beliau menegaskan bahawa Mesir akan terus tegas dalam berdepan dengan mana-mana cubaan menggugat keselamatan negara ini,” jelas jurucakap tentera, Brigadier Jeneral Mohammad Samir dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebook miliknya.
Mesir memaklumkan serangan sebelum Subuh Isnin lalu ditujukan ke atas kem, tapak latihan dan kawasan penyimpanan senjata militan dalam wilayah negara jirannya itu. Libya kini menjadi tumpuan militan berikutan kekacauan akibat perbalahan antara puak.
Tindakan memancung 21 warga Mesir itu telah memaksa Abdel Fattah untuk mengambil tindakan secara terbuka dan meluaskan pertempuran dengan militan IS di Libya tidak lama selepas beliau dilihat mula mengatasi militan di Semenanjung Sinai.
Pada Selasa lalu, beliau turut menyeru satu resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memberi mandat kepada satu pakatan yang diketuai Amerika Syarikat menentang IS di Iraq dan Syria untuk campur tangan di Libya. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0220&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3SFaGv0eb 
Hakcipta terpelihara 

18 February 2015

Al-Sisi gesa PBB beri mandat



Al-Sisi gesa PBB beri mandat

18 Februari 2015



KAHERAH - MESIR.  Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengguna pakai resolusi yang memberi mandat kepada campur tangan tentera di Libya.



"Kita tiada pilihan lain, rakyat di Tripoli perlu akur bahawa tindakan ketenteraan ini bertujuan untuk memulihkan semula keselamatan dan kestabilan di negara itu," tegasnya.



Al-Sisi mengeluarkan kenyataan itu sejurus selepas Mesir melancarkan serangan udara ke atas kubu kuat kumpulan militan Negara Islam (IS) di Libya yang turut meragut sekurang-kurangnya 64 nyawa.



Bekas ketua tentera itu sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk melibatkan campur tangan asing di negara bergolak itu selepas konflik semakin meruncing sejak bekas pemimpin Muammar Gaddafi digulingkan pada 2011.



Dalam perkembangan lain, tentera Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan turut melancarkan serangan udara dengan menyasarkan loji penapisan minyak yang dikuasai IS.



Media tempatan melaporkan serangan terbaharu itu adalah sama dengan tindakan ketenteraan yang dilancarkan pada 10 dan 12 Februari lalu, namun butiran lanjut mengenai lokasi loji penapisan minyak tersebut tidak didedahkan kepada umum.



Sementara itu, Menteri Maklumat Jordan, Bassam Mohammed Al-Momani memaklumkan Bahrain turut menghantar pesawat pejuang ke Amman sebagai langkah untuk menyokong perjuangan menentang IS. - AFP

13 February 2015

Dua wartawan al-Jazeera dibebas


KAHERAH 13 Feb. – Mahkamah Mesir semalam membebaskan dua wartawan agensi berita al-Jazeera sementara menunggu perbicaraan semula selepas meringkuk di dalam penjara selama 400 hari.
Salah seorang suspek, Mohamed Fahmy yang merupakan warga Kanada dibebaskan selepas membayar ikat jamin berjumlah AS$33,000 (RM119,066).
Seorang lagi rakan sekerjanya, Baher Mohamed yang merupakan warga Mesir dibebaskan tanpa perlu membayar sebarang ikat jamin.
Mereka ditahan pihak berkuasa selepas dengan terbuka menyatakan sokongan terhadap pergerakan Ikhwanul Muslimin yang disifatkan sebagai organisasi pengganas oleh Mesir. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/dua-wartawan-al-jazeera-dibebas-1.59041#sthash.R8yd1015.dpuf

11 February 2015

Polis bertanggungjawab rempuhan di stadium Mesir?

Saudara mara dan rakan kepada seorang mangsa yang maut dalam insiden
Saudara mara dan rakan kepada seorang mangsa yang maut dalam insiden rempuhan di sebuah stadium di Kaherah pada Ahad lalu mengangkat kerandanya untuk dikebumikan di Kaherah, kelmarin. – REUTERS
KAHERAH 10 Feb. – Kematian lebih 20 peminat bola sepak di luar sebuah stadium akibat bersesak-sesak kelmarin, menimbulkan persoalan berhubung kewajaran tindakan polis Mesir terhadap kumpulan penyokong bola sepak tersebut.
Dalam kejadian itu, polis didakwa menyembur gas pemedih mata ke arah lorong sempit yang penuh dengan penyokong yang mahu masuk ke dalam stadium, sekali gus mencetuskan insiden tersebut.
Pengarah Eksekutif Kelab Peminat Al-Ahly, Mamdouh Eid berkata, insiden itu jelas menunjukkan hanya dua pihak terlibat iaitu belia yang mahu menonton perlawanan bola sepak dan polis.
“Dalam kes ini, polis membunuh penonton. Tidak ada pihak ketiga yang terlibat, mahupun konspirasi oleh penyokong pergerakan Islam. Hanya polis,’’ kata Mamdouh yang merujuk kepada Presiden Mesir, Abdel Fattah al Sisi.
Menurut seorang saksi yang tidak mahu namanya didedahkan kerana bimbang menjadi mangsa pihak berkuasa berkata, insiden itu dimulakan oleh polis yang bertindak menyembur gas pemedih mata.
“Penyokong yang jatuh tidak dapat bangun semula,’’ katanya dengan hujahnya disokong seorang lagi saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Mohammed.
Bagaimanapun, media prokerajaan dan Kementerian Dalam Negeri Mesir menafikan polis bertanggungjawab dalam kejadian tersebut.
Seorang pengulas stesen te­levisyen, Ahmed Moussa melabelkan mangsa sebagai ‘samseng’ yang melanggar undang-undang, manakala program bual bicara ste­sen televisyen lain menuduh perge­rakan Ikhwanul Muslimin bertanggungjawab terhadap insiden itu. – AP/REUTERS
Sementara itu, kerajaan Mesir menawarkan pampasan sebanyak 25,000 pound Mesir (RM11,664) kepada waris penyokong kelab Zamalek dan Enppi yang maut dalam insiden itu.
Menurut jurucakap Kementerian Kesihatan Mesir, jumlah kematian dalam insiden di stadium itu berjumlah 19 orang, namun pejabat pendakwa raya mengesahkan sebanyak 22 kematian direkodkan setakat ini, manakala kelab penyokong Zamalek, ‘Ultras White Knights’ mendakwa sebanyak 28 maut dalam kemalangan itu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/polis-bertanggungjawab-rempuhan-di-stadium-mesir-1.58229#sthash.KVyUjXeC.dpuf

10 February 2015

22 peminat bola sepak maut


Anggota bomba Mesir berusaha memadamkan sebuah kenderaan yang terbakar di luar stadium. - Foto AFP
Anggota bomba Mesir berusaha memadamkan sebuah kenderaan yang terbakar di luar stadium. - Foto AFP
KAHERAH - MESIR. Sekurang-kurangnya 22 orang maut manakala puluhan lagi cedera dalam insiden rempuhan di luar sebuah stadium bola sepak di ibu negara Mesir, selepas polis melarang mereka memasuki kawasan itu.

Menurut Reuters, kejadian di luar Stadium Pertahanan Udara Kaherah itu berlaku sebelum perlawanan Liga Perdana Mesir di antara kelab Zamalek dan Enppi berlangsung.

Kebanyakan mangsa maut akibat lemas selepas pihak berkuasa menembak gas pemedih mata bagi menyuraikan mereka yang berpusu-pusu mengerumuni pintu masuk utama stadium yang dibuka.

Pada Februari 2012, seramai 72 peminat sukan tersebut terbunuh dalam insiden sama ketika menyaksikan perlawanan bola sepak di Port Said.

Hubungan antara pasukan keselamatan dengan kumpulan peminat dikenali sebagai Ultras tegang sejak tunjuk perasaan besar-besaran pada 2011 yang menamatkan pemerintahan Presiden Hosni Mubarak.

19 maut dalam rusuhan bola sepak di Mesir


SALAH seorang peminat bola sepak dilihat berada berhampiran sebuah kereta polis yang terbakar dalam kejadian rusuhan di sebuah stadium di Kaherah kelmarin. - REUTERS


KAHERAH – Kerajaan Mesir menggantung semua perlawanan bola sepak utama selepas sejumlah 19 orang terbunuh dalam satu insiden rempuhan semasa beribu-ribu peminat menyerbu masuk ke Stadium Kaherah di sini untuk menyaksikan perlawanan antara kelab Zamalek dan Enbi.
Menurut beberapa saksi dan laporan perubatan, kebanyakan mangsa mati akibat dipijak, manakala sebahagian mereka mengalami patah leher.
“Sekurang-kurangnya 25 yang lain cedera,” kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan.
Perlawanan tersebut bagaimanapun tetap diteruskan.
“Insiden tersebut mendorong kerajaan untuk menangguhkan Liga Perdana Mesir,” kata pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan.
Perlawanan antara kelab Zamalek dan Enbi itu dibuka kepada orang ramai, tidak seperti kebanyakan perlawanan antara kelab bola sepak Mesir sejak rusuhan di stadium di Port Said pada 2012 yang menyebabkan 70 orang maut dalam bencana sukan terburuk di negara itu.
Kementerian Dalam Negeri mengehadkan bilangan penonton kepada 10,000 orang, manakala tiket perlawanan tersebut habis dijual dalam masa yang singkat kelmarin.
Beribu-ribu peminat tanpa tiket memanjat dinding stadium sebelum polis menyuraikan mereka, menurut kementerian itu.
“Penyokong-penyokong Zamalek membaling mercun terhadap polis yang menembak gas pemedih mata bagi menyuraikan mereka,” kata polis dan saksi.
“Sebuah kereta polis terbakar dan mereka (anggota polis) menembak menggunakan peluru penabur,” kata seorang saksi kepada agensi berita AFP.
Seorang saksi lain, Mostafa Ibrahim berkata, polis menembak gas pemedih mata ke arah sejumlah besar penonton di kawasan yang sempit.
“Orang ramai terpijak satu sama lain ketika cuba melarikan diri,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0210&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3RIF2iCiY 
Hakcipta terpelihara 

Tragedi berdarah tonton bola


22 orang maut, puluhan cedera apabila peminat bola rempuh masuk stadium
10 Februari 2015 1:07 AM


Beberapa buah kereta polis terbakar dipercayai apabila mercun yang dilemparkan dalam pertempuran antara polis dan peminat bola berdekatan Stadium Pertahanan Udara Mesir di Kaherah, kelmarin. – REUTERS

KAHERAH 9 Feb. - Sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera apabila beribu-ribu peminat bola cuba merempuh masuk ke dalam sebuah stadium di sini tanpa membeli tiket, semalam.
Tindakan peminat bola tersebut menyebabkan polis bertindak melepaskan gas pemedih mata dan tembakan ke udara.
Akhbar News Nation melaporkan, Kementerian Dalam Negeri berkata, kejadian itu berlaku di luar Stadium Pertahanan Udara tersebut, sebelum perlawanan Liga Perdana Mesir antara kelab Zamalek dan ENPPI berlangsung.
Pihak berkuasa Mesir berkata, semua mangsa terbunuh akibat dipijak kerana mereka berasak-asak memasuki stadium dan bukan dibunuh polis.
Katanya, para penyokong kelab bola sepak Zamalek yang dikenali sebagai Ultras White Knights cuba merempuh masuk ke dalam stadium tanpa tiket.
“Lebih daripada 10,000 penyokong yang tidak mempunyai tiket perlawanan cuba merempuh masuk ke dalam stadium Mesir.
“Sejumlah daripada mereka didapati terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera kerana dipijak,” kata Kementerian Dalam Negeri Mesir dalam satu kenyataan.
Pasukan keselamatan cuba menyuraikan peminat selepas mereka menyekat jalan raya dan membakar kenderaan polis.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Hani Abdel Latif, berkata, berbelas-belas peminat kelab bola sepak Zamalek ditahan kerana mencetuskan keganasan.
Abdel Latif berkata, seramai 22 anggota polis turut cedera dalam pertempuran itu dan 18 penyokong kelab bola sepak Zamalek ditahan.
Kerajaan Mesir mengehadkan bilangan penonton perlawanan bola sepak di stadium di negara ini sejak rusuhan tercetus di sebuah stadium di Port Said, pada tiga tahun lalu yang menyaksikan lebih 70 orang terbunuh.
Sementara itu, Kabinet memutuskan untuk menggantung perlawanan Liga Perdana Mesir selama-lamanya ekoran kejadian itu.
Keputusan itu dibuat selepas satu sidang tergempar antara Perdana Menteri Mesir, Ibrahim Mahlab dan beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Dalam Negeri, Menteri Sukan dan Menteri Kesihatan. – AFP/Agensi
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tragedi-berdarah-tonton-bola-1.57842#sthash.f1yNAIyo.dpuf

9 February 2015

19 Penyokong Bola Sepak Maut Bertempur Dengan Polis


Diterbitkan: Isnin, 9 Februari 2015 3:39 PM

KAHERAH: Seramai 19 orang didakwa terbunuh selepas penyokong sebuah pasukan bola sepak di negara ini bertempur dengan pihak berkuasa di luar Stadium.
Bagaimanapun sebuah akhbar tempatan yang dikawal pemerintah, Al-Ahram pula mendakwa seramai 30 orang terbunuh dalam kejadian.
Pertempuran itu dipercayai berlaku ketika menjelang perlawanan melibatkan pasukan Zamalek menentang ENPPI.
"Mereka bermula dengan menjat pagar untuk memasuki stadium. Bagaimanapun akibat 10 penyokong telah cedera kerana dihalang polis, kumpulan berkenaan berlari ke arah jalan dan menyekat bas membawa pemain Zamalek.
"Mereka turut membakar sebuah kereta polis. Menurut laporan yang diperolehi, kematian berpunca daripada rempuhan," jelas Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan.

6 February 2015

Seorang maut dalam serangan di restoran segera


KAHERAH 6 Feb. - Sekurang-kurangnya seorang terkorban dalam serangan di sebuah restoran di utara Kaherah semalam.
Menurut agensi berita tempatan, MENA, kejadian itu berlaku di restoran segera di bandar di Menoufia selepas penyerang yang menggunakan sebuah motosikal melemparkan bahan letupan ke arah kedai tersebut menyebabkan seorang lagi cedera.
Minggu lepas, militan Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab dengan serangan terhadap pasukan keselamatan di Semenanjung Sinai menyebabkan 30 orang terbunuh. - REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/seorang-maut-dalam-serangan-di-restoran-segera-1.56290#sthash.aivRXKPt.dpuf

5 February 2015

Seorang maut serangan di restoran KFC, Kaherah


KAHERAH: Seorang maut dalam serangan di restoran Kentucky Fried Chicken di bandar utara Kaherah awal hari ini, kata agensi berita MENA.
Kebakaran meletus di restoran berkenaan di wilayah Menoufia, 80 kilometer utara ibu negara selepas suspek yang menaiki motosikal membaling bahan mudah terbakar dan kemudiannya melepaskan tembakan.
Dalam kejadian itu, seorang mangsa mengalami kecederaan.
Serangan berskala kecil sering berlaku yang ditujukan kepada pasukan keselamatan ternyata menjejaskan usaha Mesir untuk memperbaiki imej kestabilan selepas empat tahun dilanda pergolakan sejak peristiwa Arab Spring pada 2011.
Mesir menjadi tuan rumah persidangan pelaburan bulan depan di pusat peranginan, Sharm el-Sheikh di selatan Semenanjung Sinai.
Sementara itu, di bandar utama Sinai, El-Arish, seorang suspek bersenjata melepaskan tembakan ke arah anggota polis yang mengawal hotel dan mengakibatkan seorang mati manakala beberapa yang lain mengalami kecederaan.
Minggu lalu, rangkaian militan Negara Islam (IS) di Mesir mengaku bertanggungjawab terhadap serangan terhadap pasukan keselamatan di Semenanjung Sinai yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 30 orang maut. - Reuters

Mursi dibicara 15 Februari depan


Mursi (dua, kanan) ketika dibicarakan bersama beberapa pemimpin Ikhwanul.
Mursi (dua, kanan) ketika dibicarakan bersama beberapa pemimpin Ikhwanul.
KAHERAH - MESIR. Sebuah mahkamah di Mesir, kelmarin menetapkan 15 Februari depan untuk tarikh perbicaraan bekas Presiden digulingkan, Mohamed Mursi yang didakwa membocorkan dokumen rahsia milik kerajaan kepada Qatar.

Sebelum ini, pemimpin tersebut telah berdepan dengan tiga tuduhan termasuk berkomplot dengan pergerakan asing dan menghasut keganasan ketika tunjuk perasaan di pekarangan Istana Presiden pada 2012.

Difahamkan, keputusan kes pengintipan tersebut akan diumumkan pada 16 Mei depan.

Mursi dijadualkan hadir di mahkamah pada 21 April depan untuk keputusan menghasut keganasan ketika beliau masih bergelar presiden.

Antara defendan yang didakwa termasuk Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Mohammed Badie dan timbalannya, Khairat al-Shater serta bekas Speaker Parlimen, Saad Katatni. - MEM

Bom gempar lapangan terbang


Kaherah: Pihak berkuasa Mesir memperketatkan kawalan selepas dua bom ditemui berhampiran balai ketibaan Lapangan Terbang Antrabangsa Kaherah manakala satu lagi meletup di pusat bandar ibu negara itu.
Ketua keselamatan Kaherah Khaled Youssef berkata, letupan ditemui di lapangan terbang itu cuma bom sonik dan tiada kecederaan dilaporkan.
Bom terbabit dikesan menggunakan peralatan elektronik awal pagi semalam dan pegawai keselamatan meneliti rakaman video untuk mengenal pasti siapa yang meninggalkannya.
Sementara itu, sebuah bom sonik ditinggalkan meletup pagi semalam, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
Dalam kejadian berasingan, sebuah bom meletup di kawasan perumahan Iskandariah membunuh tiga orang awam termasuk seorang budak lelaki berusia 12 tahun.
Menurut polis, bom berkenaan sebenarnya menyasarkan pos kawalan bergerak.
Malangnya, pos kawalan itu sudah bergerak ketika bom diletupkan.
Belum ada pihak lagi mengaku bertanggungjawab atas kejadian berkenaan. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/28359#sthash.YxZnokee.dpuf

4 February 2015

PBB gesa Mesir bebas wartawan


Nasib Mohamed Fahmy (tengah) dan Baher Mohamed (kanan) sama ada akan dibebaskan atau tidak masih menjadi tanda tanya.
Nasib Mohamed Fahmy (tengah) dan Baher Mohamed (kanan) sama ada akan dibebaskan atau tidak masih menjadi tanda tanya.
NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, kelmarin mendesak pihak berkuasa Mesir supaya membebaskan kesemua wartawan yang ditahan di negara itu.

Beliau membuat gesaan itu selepas Kaherah membebaskan wartawan Al-Jazeera yang merupakan warga Australia, Peter Greste pada Ahad lalu.

Difahamkan, keputusan itu dibuat selepas mendapat 'kelulusan' daripada Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi.

"Saya menyambut baik keputusan tersebut dan berharap kes melibatkan beberapa wartawan lain yang ditahan di negara itu dapat diselesaikan segera," katanya.

Beliau sekali lagi mengulangi pendiriannya terhadap kepentingan untuk melindungi kebebasan bersuara di Mesir.

Greste bersama dua rakan seperjuangannya, Mohamed Fahmy dan Baher Mohamed diberkas selepas kesemua mereka didakwa bersubahat dengan Ikhwanul Muslimin yang telah diisytiharkan sebagai pertubuhan pengganas oleh kerajaan.

Pada Jun lalu, ketiga-tiga mereka dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan keputusan itu turut menerima kecaman daripada kumpulan hak asasi manusia.
Di bawah undang-undang baharu negara tersebut, warga asing yang ditahan di Mesir boleh dibicarakan atau menjalani hukuman di negara masing-masing.  - AFP

Bom Meledak di Mesir, 1 Tewas dan 3 lainnya Terluka

Liputan6.com, Jakarta - Seorang pria membakar trem di Kota Alexandria, Mesir. Tak lama berselang, sebuah bom meledak dan menewaskan 1 warga sipil.

Rentetan Teror Hantui Mesir, Korban Berjatuhan




Ledakan-Mesir-PerthLiputan6.com, Kairo - Seorang pria membakar sebuah trem di Kota Alexandria, Mesir dan menyebabkan kerusakan parah. Pelaku berhasil ditangkap masa ketika berusaha kabur dan diserahkan ke polisi. Tak lama berselang, sebuah bom meledak di Kota Alexandia dan menewaskan 1 orang serta 3 lainnya luka-luka.

Seperti ditayangkan Liputan 6 Malam SCTV, Selasa (3/2/2015), 2 ledakan juga terjadi di terminal internasional di Ibukota Kairo, Mesir. Ledakan diketahui berasal dari bom rakitan yang dikendalikan melalui telepon seluler.

Sejumlah serangan dan aksi teror terus bergulir di Mesir sejak militer mengambil alih pemerintahan Mohamed Morsi.

Sementara itu, ledakan juga terjadi di pusat perbelanjaan Morley Galleria di Kota Perth, Australia. Sedikitnya 1 orang tewas dan 9 lainnya luka-luka akibat peristiwa ini.

3 Korban luka bahkan mengalami luka bakar parah di sekujur tubuhnya. Belum diketahui penyebab ledakan tersebut. (Nfs/Riz)

3 February 2015

Polis tembak mati anggota Ikhwanul Muslimin yang mengejeknya


KAHERAH 3 Feb. – Seorang anggota polis Mesir ditahan, kelmarin selepas menembak mati seorang penyokong pergerakan Ikhwanul Muslimin yang sedang ditahan di sebuah hospital, di sini.
Kementerian Dalam Negeri Mesir melalui akaun laman sosial Facebooknya melaporkan, mangsa ditahan dan kemudiannya ditempatkan di hospital bagi menjalani rawatan selepas mengalami kecederaan ketika cuba meletupkan bom di daerah Al-Warraq.
"Suspek (itu) mengejek dan menghina polis yang berkawal di hospital berkenaan, selain mengugut untuk membunuh mereka. Polis terbabit yang marah dengan perbuatan mangsa bertindak menembaknya.
"(Anggota) Polis berkenaan kini ditahan dan siasatan akan mula dijalankan," jelas kementerian itu. - AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/polis-tembak-mati-anggota-ikhwanul-muslimin-yang-mengejeknya-1.55299#sthash.JoYN9T9k.dpuf

Mahkamah sahkan hukuman mati


Kaherah: Sebuah mahkamah semalam mengesahkan sabitan serta hukuman mati ke atas 183 lelaki yang didakwa ‘membunuh’ 13 anggota polis di sebuah bandar di pinggir Kaherah pada 2013.
Ketetapan itu dibuat hakim selepas hukuman awal mengenainya dihantar kepada Mufti Besar Mesir dan penterjemah rasmi kerajaan untuk pengesahan Disember lalu.
Daripada jumlah itu, 143 sedang berada dalam penjara.
Menurut sumber, mereka didakwa menyerang sebuah balai polis di petempatan Kerdassa di luar Kaherah.
Serangan itu berlaku pada hari sama anggota keselamatan Mesir mengganas dan membunuh ratusan orang awam di dua pusat protes di Kaherah.
Mereka berkumpul kerana membantah tindakan Abdel Fattah al-Sisi menggulingkan Presiden sah Mesir, Mohamed Mursi Isa al-Ayyat pada 3 Julai 2013.
Serangan di balai polis itu dilaporkan berlaku pada 14 Ogos tahun sama.
Sejak kerajaan demokrasi berkubur di Mesir, sekurang-kurangnya 1,400 orang maut dalam pelbagai keganasan.
Mahkamah pula menjatuhi hukuman mati kepada ratusan orang dalam tindakan dianggap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai “tidak pernah berlaku dalam sejarah moden.” - AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/28112#sthash.YDF6IjFa.dpuf

2 February 2015

Mesir bebaskan wartawan Australia


KAHERAH 2 Feb. - Mesir semalam membuat keputusan untuk menghantar pulang wartawan Australia, Peter Greste, yang ditahan di penjara di sini ke ke kampung halamannya, semalam.
Jurucakap Menteri Dalam Negeri berkata, pembebasan itu dibuat berdasarkan keputusan Presiden.
Greste menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun bersama seorang lagi wartawan Mohamed Fahmy dituduh membantu kumpulan Ikhwan Muslimin, bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada Fahmy dibebaskan bersama atau kekal dalam tahanan. - AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mesir-bebaskan-wartawan-australia-1.55028#sthash.bKAXk8cH.dpuf

Mesir haram Briged al-Qassam


Mahkamah Mesir mengharamkan Briged al-Qassam dan menyenaraikannya
Mahkamah Mesir mengharamkan Briged al-Qassam dan menyenaraikannya sebagai salah sebuah organisasi pengganas. – AGENSI
KAHERAH 1 Feb. – Mahkamah Mesir, semalam mengharamkan operasi sayap bersenjata pergerakan Hamas iaitu Briged al-Qassam, selain turut menyenaraikannya sebagai salah sebuah organisasi pengganas, langkah drastik Presiden, Abdel Fattah al-Sisi dalam menjaga keamanan negara ini.
“Mahkamah mengambil keputusan untuk mengharamkan Briged al-Qassam dan menyenaraikannya sebagai pertubuhan pengganas,” kata Hakim Mahkamah Khas Kaherah, Mohamed al-Sayid.
Keputusan itu diambil berikutan beberapa serangan yang dilancarkan oleh Briged al-Qassam bagi membantu pergerakan Ikhwanul Muslimin, selain serangan yang mengakibatkan 33 anggota keselamatan terbunuh di Semenanjung Sinar pada Oktober lalu.
Abdel Fattah, semalam selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin atasan tentera berkata, Mesir kini berhadapan dengan kempen yang sukar dan berterusan dalam menentang kegiatan militan.
Pergerakan Hamas merupakan satu daripada organisasi yang mempunyai hubungan rapat dengan Ikhwanul Muslimin yang turut dilabelkan sebagai kumpulan pengganas oleh pihak berkuasa Mesir sejak Presiden, Mohammed Mursi digulingkan pada 2013.
“Kami sebulat suara menolak keputusan Mahkamah Mesir itu terhadap Briged al-Qassam. Ini merupakan satu keputusan berbahaya dan berbaur politik yang memihak kepada rejim Zionis Israel,” kata jurucakap pergerakan Hamas, Sami Abu Zuhri.
Susulan keputusan itu, pergerakan Hamas tidak lagi mengiktiraf Mesir sebagai orang tengah dalam rundingan damai antara pihaknya dengan Israel.
Keputusan mahamah Mesir itu dikeluarkan beberapa hari selepas berlakunya pertempuran berdarah antara pasukan keselamatan Mesir dan kumpulan militan Negara Islam (IS). – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mesir-haram-briged-al-qassam-1.55055#sthash.jtHZyiCE.dpuf