Menurut sumber keselamatan Mesir, penunjuk perasaan itu terkena tembakan berhampiran Dataran Tahrir yang menjadi kawasan simbolik kebangkitan rakyat tersebut yang menamatkan pemerintahan 30 tahun Hosni.
Gambar-gambar yang disiarkan di Twitter menunjukkan, pasukan keselamatan Mesir bertopeng hitam berada tidak jauh dari lokasi aktivis liberal, Shaimaa Sabbagh, ditembak.
Parti Perikatan Popular Sosialis (SPAP) dalam laman Facebooknya mendakwa, Shaimaa, 34, mati dibunuh oleh pasukan keselamatan.
Menurut seorang saksi, penunjuk perasaan pada ketika itu sedang membawa bunga ke Dataran Tahrir, lokasi tembakan itu berlaku.
Perdana Menteri Mesir, Ibrahim Mehleb dalam satu kenyataan berkata, siasatan akan dilaksanakan bagi mengenal pasti pembunuh Shaimaa.
Dalam satu kejadian berasingan, dua orang penunjuk perasaan terbunuh dalam pertempuran dengan polis di Matareya, sementara satu letupan berlaku di ibu negara ini, mencederakan seorang anggota polis.
Beberapa insiden bantahan berlaku di Kaherah dan Iskandariah, bandar kedua terbesar Mesir sepanjang minggu lalu.
Dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi memuji kemahuan untuk berubah yang membawa rakyat negara itu ke jalanan empat tahun lalu, namun mendakwa hasrat itu memerlukan kesabaran bagi mencapai kesemua ‘matlamat revolusi’.
Mursi bagaimanapun tidak menyentuh tentang insiden tembakan itu. – REUTERS