29 January 2015

Polis Mesir dikecam atas kematian penunjuk perasaan wanita

KAHERAH: Polis Mesir berdepan kritikan teruk apabila saksi berkata pegawai bukan saja menembak mati seorang ibu muda ketika bantahan aman hujung minggu lalu tetapi melambatkan usaha menyelamatkan nyawanya dengan tidak mengendahkan rayuan supaya membenarkan ambulans membawa beliau untuk mendapatkan rawatan.
Menurut saksi dan peguam hak asasi yang bercakap dengan The Associated Press kelmarin, polis melarang sesiapa pun daripada membantu Shaimaa el-Sabbagh, 32, selepas beliau ditembak.
El-Sabbagh, ibu kepada seorang anak lelaki, meninggal dunia selepas terkena tembakan di kepala ketika perhimpunan kecil 40 penunjuk perasaan parti politik berhaluan kiri di Kaherah, kata saksi.
Mereka sekadar mahu meletakkan kalungan bunga di Dataran Tahrir, yang menjadi pusat kebangkitan Mesir pada 2011 yang menumbangkan pemerintah kuku besi, Hosni Mubarak.
Ketika perhimpunan dibuat, Talaat Fahmy dari parti Popular Alliance yang berhaluan kiri mendekati pegawai untuk menjelaskan rancangan mereka, kata saksi dan peguam.
Dalam masa beberapa minit, tanpa amaran, tembakan dan gas pemedih mata dilepaskan.
"Komander membuat panggilan telefon, kemudian menangkap Talaat Fahmy dan memberi arahan melepaskan tembakan dan gas pemedih mata.
"Kami tidak menjerit ke arah polis atau rejim dan tidak berhasrat atau mampu melakukan keganasan," kata pegaai kanan parti yang turut serta dalam perhimpunan itu, Zohdy al-Shamy.
Pendakwa Mesir mengarahkan siasatan dibuat berikutan kematian el-Sabbagh tetapi aktivis berkata kenyataan oleh pegawai menuduh penunjuk perasaan melawan dan menyerang anggota polis.
Menteri Dalam Negeri, Mohammed Ibrahim, berjanji secara peribadi memastikan pegawai polis yang mendalangi pembunuhan itu dibicarakan tetapi menegaskan pasukannya cuma menggunakan gas pemedih mata ketika berdepan dengan penunjuk perasaan yang tidak bersenjata. -AP

No comments:

Post a Comment