Demonstrasi oleh penunjuk perasaan pergerakan Islam yang memperingati ulang tahun keempat penggulingan bekas Presiden, Hosni Mubarak itu, menyaksikan bunyi tembakan dan siren kedengaran di ibu negara ini selain kereta kebal turut meronda berada di jalan-jalan.
Seorang jurucakap Kementerian Kesihatan mengesahkan jumlah kematian tersebut yang berlaku di beberapa lokasi berasingan.
Menurut sumber kesela­matan, kematian paling banyak dicatatkan di Matareya, kawasan kuat pergerakan Ikhwanul Muslimin apabila lapan orang termasuk seorang anggota polis maut ditembak oleh pasukan keselamatan.
Saksi berkata, anggota pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan selepas beberapa orang daripada mereka melontar bom petrol terhadap polis.
Di Iskandariah pula, sebanyak enam orang terkorban, manakala di Delta Nil, dua anggota militan turut terbunuh selepas mereka cuba menanam bahan letupan.
Sebanyak 400 individu lain turut ditahan di seluruh negara.
Terdahulu, seorang aktivis parti pembangkang, Shaimaa ­Sabbagh, 32, ditembak mati dalam satu perarakan yang dianjurkan oleh Parti Sosialis Perikatan Popular di pusat bandar Kaherah.
Parti itu menyalahkan polis kerana kematiannya dan acara pengebumian mangsa di Iskandariah, dihadiri ratusan orang.
Pihak pendakwa raya telah melancarkan siasatan berhubung kematiannya.