Satu siri tweet kumpulan militan itu daripada akaun Twitter wilayah Sinai mengaku mereka bertanggungjawab ke atas serangan yang berlaku setiap empat jam di utara Sinai dan wilayah Suez sejak semalam.
Kumpulan militan paling aktif di Mesir, Ansar Bayt al-Maqdis menukar nama kumpulan tersebut kepada Wilayah Sinai pada tahun lalu selepas mengangkat sumpah setia de­ngan kumpulan militan IS.
Serangan pertama semalam menyasarkan ibu pejabat tentera, pangkalan tentera dan hotel di ibu negara wilayah utara Sinai, mengorbankan 25 orang dan mengakibatkan 58 yang lain cedera termasuk sembilan orang awam.
Akhbar kerajaan, al-Ahram melaporkan pejabatnya di bandar Al-Arish yang terletak berhadapan bangunan tentera ‘musnah’, walaupun tidak jelas sama ada bangunan tersebut turut dijadikan sasaran.
Suspek militan kemudian membunuh pegawai tentera dan mencederakan enam yang lain di pusat pemeriksaan di Rafah, diikuti serangan bom jalanan di bandar Suez yang mengorbankan seorang pegawai polis, dan menyerang pusat pemeriksaan di selatan Al-Arish yang mengorbankan empat anggota tentera, kata sumber keselamatan.
Selepas militan Wilayah Sinai membuat pengakuan bertanggungjawab melakukan serangan tersebut, sumber keselamatan berkata, seorang suspek militan berjaya dibunuh ketika dia cuba menanam bom di sebuah janakuasa di Pela­buhan Said.
“Amerika Syarikat (AS) akan terus memberi sokongan terhadap usaha kerajaan Mesir untuk memerangi ancaman keganasan di Mesir sebagai sebahagian usaha dan komitmen berterusan serta perkongsian strategik antara kedua-dua negara,” ujar Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan mengutuk serangan tersebut. - REUTERS