27 January 2015

17 penunjuk perasaan maut di Mesir


PENYOKONG Abdel Fattah bertempur dengan kumpulan antikerajaan dalam satu tunjuk perasaan yang berlaku di Kaherah kelmarin.


KAHERAH – Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh di Mesir kelmarin selepas pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang berhimpun kerana meraikan ulang tahun kebangkitan rakyat menggulingkan diktator Hosni Mubarak pada 2011.
Protes berkenaan adalah yang paling berdarah sejak Abdel Fatah al-Sisi dipilih sebagai Presiden Mesir.
Seorang jurucakap Kementerian Kesihatan memberitahu, bunyi tembakan dan siren kedengaran sepanjang malam di sini selepas polis sekali lagi bertindak membunuh penunjuk perasaan.
“Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dalam protes tersebut di seluruh negara,” katanya.
Ulang tahun tersebut merupakan ujian sama ada golongan Islam dan aktivis liberal masih berupaya mencabar kerajaan yang sebelum ini mematahkan semua penentangan yang tercetus sejak Abdel Fattah mengusir Presiden daripada golongan Islam, Mohammed Morsi.
Morsi turut digulingkan selepas bantahan besar-besaran terhadap pemerintahannya pada Julai 2013.
“Beberapa lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah sebuah pos kawalan berhampiran kawasan piramid di sini dengan menyebabkan dua anggota polis maut dan dua lagi cedera,” kata sumber keselamatan.
Menurut Kementerian Kesihatan, angka kematian tertinggi berlaku di penempatan Matariya, dekat sini yang merupakan kubu kuat pergerakan Islam, Ikhwanulmuslimin.
“Unit tindakan khas melepaskan tembakan menggunakan pistol dan raifal terhadap penunjuk perasaan,” kata seorang saksi.
“Lapan orang terbunuh termasuk seorang anggota polis,” kata Kementerian Kesihatan pula.
Di pusat bandar raya ini, polis pencegah rusuhan bersenjatakan pistol dilihat mengejar penunjuk perasaan di jalan-jalan raya.
Sebanyak enam orang terbunuh dalam protes berasingan di bandar kedua terbesar di Mesir, Iskandariah, Giza dan Baheira, kata sumber keselamatan. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3PyNqna5J 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment