Seorang pegawai keselamatan Mesir berkata, penyerang dipercayai merupakan bekas pekerja yang telah dipecat di restoran di kawasan Agouza, tengah Kaherah.
Kebanyakan mangsa dalam kejadian tersebut maut akibat terbakar hidup-hidup atau sesak nafas ekoran asap tebal daripada kebakaran di dalam restoran.
Pegawai berkata, restoran tersebut turut memiliki kelab malam yang terletak di bahagian bawah tanah, namun tidak memiliki pintu keluar yang banyak atau tahap keselamatan yang baik.
Agensi berita MENA memetik kenyataan seorang pengawal yang enggan dikenali sebagai berkata, tiga lelaki menaiki motosikal membaling bom molotov cocktail ke dalam restoran awal malam tadi sebelum melarikan diri.
“Kebakaran berjaya dipadamkan dengan cepat dan pihak berkuasa keselamatan sedang melakukan siasatan berhubung serangan tersebut,” lapor MENA.
Menurut sumber keselamatan, serangan itu berpunca daripada perselisihan faham antara pekerja restoran berkenaan dengan sekumpulan pemuda.
Pegawai keselamatan mengesahkan, sehingga kini jumlah mereka yang terkorban adalah 18 orang. – REUTERS/AGENSI