Menteri Kebudayaan Mesir, Gaber Asfour berkata, langkah itu diambil selepas filem yang dibintangi aktor, Christian Bale banyak mengandungi kesilapan dan tidak mengikut sejarah apabila menampilkan Nabi Musa dan orang Yahudi sebagai pembina piramid.
Jelasnya, filem tersebut merupakan agenda golongan Yahudi yang berfahaman Zionis untuk mengubah fakta sejarah.
“Filem itu tidak tepat dan merupakan pandangan salah Zionis terhadap sejarah dan kerajaan Mesir tidak teragak-agak untuk mengharamkan tayangan filem berkenaan di negara ini,” katanya.
Keputusan berkenaan diambil berdasarkan perbincangan oleh satu jawatankuasa yang turut melibatkan Pengarah Majlis Agung untuk Kebudayaan, Mohammed Afifi dan dua ahli sejarah Mesir.
Menurut Afifi, babak yang menunjukkan Nabi Musa yang dilakonkan oleh Bale, membelah Laut Merah sambil memegang ‘pedang’ seolah-olah kelihatan seperti pahlawan adalah tidak benar, sebaliknya mengikut sejarah benda yang dipegang oleh Nabi Musa adalah tongkat.
“Selain itu, babak berkenaan menonjolkan kejadian membelah laut sebagai fenomena air pasang surut berbanding muzizat Allah yang diberikan kepada Nabi Musa,” katanya. – AFP