Menurut sumber keselamatan, serangan yang berlaku di sebuah ladang pertanian di barat laut El-Arish, bandar utama ke utara Sinai itu dilakukan oleh seorang suspek pengganas yang merempuh sebuah pos pemeriksaan dengan kenderaan yang sarat dengan bahan letupan.
Menurut kenyataan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, perintah darurat itu bermula hari ini pada pukul 11 pagi waktu Malaysia bagi tempoh tiga bulan ekoran serangan maut ke atas pasukan keselamatan sejak penggulingan bekas Presiden, Mohammed Mursi oleh tentera, tahun lalu.
Keputusan itu antara lain mengarahkan penutupan pintu sempadan Rafah ke Semenanjung Gaza, satu-satunya laluan ke wilayah Palestin yang tidak dikawal Israel.
“Tentera dan polis akan mengambil semua langkah perlu bagi menangani bahaya pengganas dan sumber kewangannya bagi melindungi keselamatan wilayah ini dan melindungi nyawa penduduk,’’ kata kenyataan itu lagi.
Serangan sama turut mencederakan sekurang-kurangnya 29 anggota tentera yang lain termasuk seorang pegawai kanan dan lima pegawai tentera.
Dalam kejadian berasingan, lelaki bersenjata turut menembak mati seorang pegawai tentera dan mencederakan dua askar di satu lagi pos pemeriksaan di selatan El-Arish, semalam. – AFP