26 September 2014

Didakwa sokong pengganas


Kaherah: Mesir menuduh pemimpin Turki Recep Tayyip Erdogan menyokong pengganas dan cuba mencetuskan kekacauan di Asia Barat.

Tuduhan Kaherah itu dibuat selepas Recep mempertikaikan keabsahan Presiden Abdel Fattah al-Sisi dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Dalam kenyataannya, Kementerian Luar Mesir berkata, tuduhan Recep terhadap Abdel Fattah adalah tidak berasas.

“Tiada keraguan bahawa tuduhan dan pembohongan sebegitu aneh datang daripada Presiden Turki ketika dia cuba memecah-belahkan Asia Barat melalui sokongannya kepada pertubuhan pengganas.

“Dia memberikan sokongan politik atau dana atau kemudahan dalam usaha merosakkan kepentingan rakyat serantau bagi mencapai matlamat peribadinya, serta menghidupkan ilusi silam,” katanya.

Hubungan Kaherah - Ankara menegang sejak Abdel Fattah mengetuai rampasan kuasa menyingkirkan Presiden Mohamer Mursi tahun lalu.

Mohamed Mursi adalah pemimpin gerakan Islam Ikhwanul Muslimin yang disegani tetapi dibenci Abdel Fattah.

Rejim Mesir kemudian mengganasi orang awam yang berkumpul membantah kudeta berkenaan, menyebabkan ramai terkorban di tangan tentera.

Dalam ucapannya, Recep berkata, Turki kecewa kerana PBB gagal bertindak selepas Mohamed Mursi disingkirkan secara haram.

“Sekali lagi, pihak yang menentang pembunuhan di Iraq, Syria dan demokrasi di Mesir tertakluk kepada ketidakadilan, dan serta-merta dituduh menyokong pengganas.

“PBB dan negara demokratik lain tidak berbuat apa-apa kecuali melihat rampasan kuasa seorang presiden yang dipilih rakyat Mesir serta pembunuhan ribuan warga tidak berdosa yang mahu mempertahankan pilihan mereka,” katanya.- Reuters



Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/26

No comments:

Post a Comment