14 August 2014

Rundingan terus buntu


Gambar bertarikh 10 Ogos lalu merakamkan penduduk Palestin menunaikan solat Zuhur di Masjid Farouk yang rosak teruk akibat terkena bedilan tentera Israel di kem pelarian Rafah di selatan Genting Gaza. - AGENSI
KAHERAH 13 Ogos - Rundingan antara Hamas dan Israel, di sini bagi membincangkan gencatan senjata berkekalan, yang masuk hari kedua hari ini, masih belum mencapai sebarang keputusan, ketika gencatan senjata selama 72 jam yang diusahakan oleh Mesir, akan berakhir hari ini.
Mesir membentangkan cadangan gencatan senjata kepada kedua-dua pihak terlibat dalam usaha menghentikan krisis di Gaza, sekali gus memberi kelegaan kepada penduduk Palestin di wilayah Palestin itu.
Selepas lebih 10 jam rundingan semalam, delegasi rundingan Palestin memberitahu AP awal pagi ini bahawa cadangan Mesir untuk mengurangkan sebahagian daripada sekatan Israel di Gaza membawa sedikit kelegaan kepada penduduk di wilayah Palestin itu.
Bagaimanapun, cadangan itu dilihat mengenepikan perkara-perkara utama yang menjadi perbalahan kedua-dua pihak termasuk tuntutan Hamas supaya Israel menarik sepenuhnya sekatan di Gaza, dan tuntutan Israel supaya pergerakan Palestin itu melucutkan senjata sebelum rundingan dibawa ke peringkat seterusnya.
Sekiranya kedua-dua pihak menerima cadangan itu, ia akan memberi kesan besar kepada rakyat Palestin di Gaza kerana akan meningkatkan pergerakan individu dan barangan dagangan ke Tebing Barat selepas penguasaan Hamas di Gaza mengakibatkan sekatan dari Israel dan Mesir pada 2007 yang menjejaskan perniagaan di wilayah tersebut.
"Menurut cadangan Mesir itu, sekatan ke atas Palestin akan ditarik balik secara berperingkat-peringkat dari semasa ke semasa,'' kata wakil Palestin yang tidak mahu dikenali.
Katanya, cadangan itu menetapkan bahawa Israel akan menghentikan serangan udara ke atas Hamas dan jarak 500 meter zon penampan bersebelahan Gaza dan sempadan Israel akan dikurangkan dari semasa ke semasa.
Pasukan rundingan damai Palestin dan Israel menangguhkan mesyuarat mereka selepas 10 jam perbincangan dan menyambung semula rundingan mereka hari ini, kira-kira 12 jam sebelum gencatan senjata tamat pada tengah malam, selepas gencatan senjata selama 72 jam antara kedua pihak, dikuatkuasakan kelmarin.
Dalam perkembangan berasingan, jurucakap Kementerian Dalam Negeri Palestin, Iyad al-Buzam berkata, kira-kira lima orang termasuk seorang wartawan asing terbunuh manakala beberapa orang lagi cedera ketika pasukan pemusnah bom cuba memusnahkan sebutir peluru berpandu Israel yang tidak meletup. - AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140814/lu_03/Rundingan-terus-buntu#ixzz3AJa70Rio
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment