KAHERAH - Gerakan Ikhwanul Muslimin harus diberi peluang untuk kembali aktif ke arena politik.

Bekas Menteri Luar Mesir yang juga calon presiden Amr Moussa berkata, kerajaan sementara membuka jalan untuk mereka selagi gerakan terbabit mematuhi peraturan sejajar dengan Perlembagaan.

“Ikhwanul mempunyai peluang bertanding dalam pilihan raya itu, jika mereka berminat. Namun, penyertaan harus mematuhi aspek perundangan seperti ditetapkan dan tidak menimbulkan kekecohan,” katanya pada laporan Al Arabiya.

Disember lalu, kerajaan sementara secara rasmi mengelar gerakan Ikhwanul sebagai pengganas selepas dituduh mendalangi serangan bom di bandar Monsoura.

Kaherah juga menggesa negara-negara Arab lain untuk menyenaraikan gerakan sebagai sebuah pertubuhan pengganas.

Sementara itu, Presiden sementara Adly Mansour dalam satu kenyataan berkata, pilihan raya presiden perlu diadakan sebelum 17 Julai ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat bersama 13 wakil parti politik untuk membincangkan proses dan undang-undang pilihan raya presiden.