3 December 2011

Ikhwanul Muslimin sedia galas cabaran

Ikhwanul Muslimin sedia galas cabaran


KAHERAH - Selepas menunggu selama 83 tahun, Parti Ikhwanul Muslimin akhirnya semakin hampir mendapat peluang yang ditunggu-tunggu untuk mentadbir Mesir selepas dilaporkan mendahului pilihan raya fasa pertama sejurus pengiraan undi tamat, semalam.
Parti berlandaskan Islam itu berharap mampu mengemudi perubahan politik Mesir selepas revolusi Arab, dan berikrar akan meningkatkan kembali ekonomi negara dengan 80 juta penduduk itu yang terjejas akibat pergolakan politik, awal tahun ini.
Ikhwanul Muslimin, gerakan Islam tertua di Mesir dijangka mendapat kedudu-kan kukuh di Parlimen dan berharap dapat membentuk kerajaan campuran sejurus pilihan raya tiga fasa itu berakhir, Januari depan.
Kejayaan parti itu mendahului pilihan raya menandakan perubahan besar kerana pemerintahan bekas Presiden Hosni Mubarak dan pemimpin sekular sebelum ini menindas dan melarang Ikhwanul Muslimin menyertai dunia politik.
Diketuai golongan profesional seperti doktor, jurutera dan guru, Ikhwanul Muslimin membawa slogan ‘Islam adalah penyelesaiannya’ dan turut mengutamakan demokrasi, keadilan sosial serta kebebasan undang-undang.
Namun perjalanan politik parti itu dijangka berhadapan cabaran besar apabila majlis tentera Mesir dilihat mahu mempengaruhi pemilihan Kabinet dan cuba meletakkan pemimpin pilihan mereka.
Populariti Parti Ikhwanul Muslimin juga menghancurkan impian kuasa Barat yang sejak dahulu kerap menjadikan pemimpin Arab sebagai boneka demi memenuhi kepentingan mereka.
Selain Mesir, parti berlandaskan Islam juga memenangi pilihan raya terbaru di Tunisia dan Maghribi.

2 December 2011

Parti Islam Mesir mendahului

Parti Islam Mesir mendahului


KAHERAH - Parti Ikhwanul Muslimin di Mesir mendahului pilihan raya Parlimen fasa pertama negara itu dengan mendapat 40 peratus daripada jumlah undian sehingga semalam, dan keputusan penuh hanya akan diumumkan hari ini.
Sebelum ini, parti itu menuntut ahli Parlimen yang dipilih rakyat dalam pilihan raya tiga fasa bermula Isnin lalu, dipilih sebagai Kabinet kerajaan.
Cadangan itu mungkin menimbulkan perbalahan antara Ikhwanul Muslimin dan majlis tentera yang melantik perdana menteri baru Mesir.
Jutaan penduduk Mesir membuang undi dalam pilihan raya pertama sejak Presiden Hosni Mubarak digulingkan, Februari lalu dengan undian dijangka berakhir, Januari depan.
Proses pengundian dilaporkan berjalan lancar walaupun dicemari dengan keganasan kecil, malam kelmarin, apabila lebih 80 orang cedera semasa protes menuntut majlis tentera segera berundur daripada tampuk pemerintahan.

1 December 2011

Penduduk masih keluar mengundi

 SINAR HARIAN
 November 30, 2011


Penduduk fasa pertama di beberapa wilayah di Mesir masih keluar untuk membuang undi pada hari kedua bagi memilih ahli Dewan Perwakilan Rakyat, semalam.

KAHERAH - Penduduk fasa pertama di beberapa wilayah di Mesir masih keluar untuk membuang undi pada hari kedua bagi memilih ahli Dewan Perwakilan Rakyat, semalam.

Jawatan kuasa pilihan raya Mesir dilihat cuba untuk menyelesaikan beberapa masalah untuk melancarkan lagi proses membuang undi selepas mereka menerima 700 aduan.

Kelmarin. penduduk terpaksa menunggu bagi tempoh yang lama sebelum boleh menjalankan kewajipan pertama mereka selepas 10 bulan kejatuhan pemerintahan selama 30 tahun Presiden Hosni Mubarak berikutan kelewatan petugas untuk membuka beberapa pusat mengundi.