18 October 2011

Mesir haramkan diskriminasi

Diskrimininasi di Mesir


Majlis Tertinggi Tentera Mesir yang memerintah negara itu melarang diskriminasi berasaskan kaum, jantina atau agama melalui peraturan baru yang diumumkan, kelmarin.

Perintah itu dikeluarkan selepas pergaduhan kaum antara penunjuk perasaan terdiri daripada penganut agama Kristian dan tentera Mesir yang menyebabkan 25 orang terbunuh, Ahad lalu, iaitu keganasan paling buruk sejak penggulingan bekas presiden Hosni Mubarak pada 11 Februari lalu.

Di bawah peraturan baru itu, tindakan berupa diskriminasi terhadap seseorang atau kumpulan berdasarkan jantina, kaum, bahasa atau agama akan dianggap sebagai satu kesalahan jenayah.

Individu yang didapati bersalah melakukan diskriminasi terhadap orang lain boleh dipenjara tiga bulan atau didenda sebanyak 100,000 pound Mesir (RM52,350).

Sebelum ini, penunjuk perasaan dan ahli politik mendakwa tentera Mesir bertindak ganas semasa kekacauan minggu lalu itu, sama seperti polis yang berkhidmat di bawah pemerintahan Mubarak.

13 October 2011

Majlis Tertinggi Tentera dikecam

Protes di Mesir

 SINAR HARIAN 


Penunjuk perasaan mendakwa pemerintah tentera bertanggungjawab mencetuskan insiden keganasan itu sehingga menyebabkan 26 terbunuh dan lebih 500 cedera.

Laporan forensik mendedahkan kematian penunjuk perasaan yang kebanyakannya terdiri daripada penganut Kristian tersebut berpunca akibat tembakan rambang dan dilanggar kereta kebal milik tentera.

Pemerintah tentera Mesir mengutuk keganasan kaum terburuk itu yang dilihat cuba melemahkan kerajaan dan turut memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas bagi melindungi keamanan.

Kenyataan tentera tersebut dilihat seakan cuba mengekalkan kuasa mereka walaupun kebanyakan aktivis menuntut pembentukan kerajaan demokrasi selepas bekas presiden, Hosni Mubarak digulingkan, Februari lalu.

Sementara itu, penganut Kristian di negara tersebut juga mengkritik tindakan sambil lewa kerajaan kerana tidak mengambil sebarang tindakan terhadap siri serangan ke atas mereka.