3 December 2011

Ikhwanul Muslimin sedia galas cabaran

Ikhwanul Muslimin sedia galas cabaran


KAHERAH - Selepas menunggu selama 83 tahun, Parti Ikhwanul Muslimin akhirnya semakin hampir mendapat peluang yang ditunggu-tunggu untuk mentadbir Mesir selepas dilaporkan mendahului pilihan raya fasa pertama sejurus pengiraan undi tamat, semalam.
Parti berlandaskan Islam itu berharap mampu mengemudi perubahan politik Mesir selepas revolusi Arab, dan berikrar akan meningkatkan kembali ekonomi negara dengan 80 juta penduduk itu yang terjejas akibat pergolakan politik, awal tahun ini.
Ikhwanul Muslimin, gerakan Islam tertua di Mesir dijangka mendapat kedudu-kan kukuh di Parlimen dan berharap dapat membentuk kerajaan campuran sejurus pilihan raya tiga fasa itu berakhir, Januari depan.
Kejayaan parti itu mendahului pilihan raya menandakan perubahan besar kerana pemerintahan bekas Presiden Hosni Mubarak dan pemimpin sekular sebelum ini menindas dan melarang Ikhwanul Muslimin menyertai dunia politik.
Diketuai golongan profesional seperti doktor, jurutera dan guru, Ikhwanul Muslimin membawa slogan ‘Islam adalah penyelesaiannya’ dan turut mengutamakan demokrasi, keadilan sosial serta kebebasan undang-undang.
Namun perjalanan politik parti itu dijangka berhadapan cabaran besar apabila majlis tentera Mesir dilihat mahu mempengaruhi pemilihan Kabinet dan cuba meletakkan pemimpin pilihan mereka.
Populariti Parti Ikhwanul Muslimin juga menghancurkan impian kuasa Barat yang sejak dahulu kerap menjadikan pemimpin Arab sebagai boneka demi memenuhi kepentingan mereka.
Selain Mesir, parti berlandaskan Islam juga memenangi pilihan raya terbaru di Tunisia dan Maghribi.

2 December 2011

Parti Islam Mesir mendahului

Parti Islam Mesir mendahului


KAHERAH - Parti Ikhwanul Muslimin di Mesir mendahului pilihan raya Parlimen fasa pertama negara itu dengan mendapat 40 peratus daripada jumlah undian sehingga semalam, dan keputusan penuh hanya akan diumumkan hari ini.
Sebelum ini, parti itu menuntut ahli Parlimen yang dipilih rakyat dalam pilihan raya tiga fasa bermula Isnin lalu, dipilih sebagai Kabinet kerajaan.
Cadangan itu mungkin menimbulkan perbalahan antara Ikhwanul Muslimin dan majlis tentera yang melantik perdana menteri baru Mesir.
Jutaan penduduk Mesir membuang undi dalam pilihan raya pertama sejak Presiden Hosni Mubarak digulingkan, Februari lalu dengan undian dijangka berakhir, Januari depan.
Proses pengundian dilaporkan berjalan lancar walaupun dicemari dengan keganasan kecil, malam kelmarin, apabila lebih 80 orang cedera semasa protes menuntut majlis tentera segera berundur daripada tampuk pemerintahan.

1 December 2011

Penduduk masih keluar mengundi

 SINAR HARIAN
 November 30, 2011


Penduduk fasa pertama di beberapa wilayah di Mesir masih keluar untuk membuang undi pada hari kedua bagi memilih ahli Dewan Perwakilan Rakyat, semalam.

KAHERAH - Penduduk fasa pertama di beberapa wilayah di Mesir masih keluar untuk membuang undi pada hari kedua bagi memilih ahli Dewan Perwakilan Rakyat, semalam.

Jawatan kuasa pilihan raya Mesir dilihat cuba untuk menyelesaikan beberapa masalah untuk melancarkan lagi proses membuang undi selepas mereka menerima 700 aduan.

Kelmarin. penduduk terpaksa menunggu bagi tempoh yang lama sebelum boleh menjalankan kewajipan pertama mereka selepas 10 bulan kejatuhan pemerintahan selama 30 tahun Presiden Hosni Mubarak berikutan kelewatan petugas untuk membuka beberapa pusat mengundi.

30 November 2011

Pilihan raya pertama Mesir disabotaj?

Pilihan raya pertama Mesir cuba disabotaj?


KAHERAH - Beberapa jam sebelum pilihan raya pertama di Mesir bermula, semalam negara itu dikejutkan dengan dua kejadian letupan dalam tempoh seminggu di saluran paip membekalkan gas ke Israel dan ia dipercayai angkara tindakan sabotaj yang dilihat sebagai percubaan untuk menggagalkan proses pengundian.

Agensi berita Mena melaporkan, saksi mendakwa mereka melihat sekumpulan lelaki bertopeng menanam bahan letupan tersebut di bawah saluran paip di bandar Al-Arish, utara semenanjung Sinai.

Insiden letupan kedua yang menyebabkan api semakin marak dilaporkan berlaku sekitar 100 meter dari lokasi kejadian pertama.

Pegawai keselamatan menyatakan ia adalah kejadian letupan kesembilan sejak pemerintahan bekas Presiden Hosni Mubarak digulingkan, Februari lalu.

Sementara itu, pilihan raya pertama secara tiga fasa selepas 10 bulan kejatuhan pemerintahan Mubarak selama 30 tahun berlangsung dalam keadaan terkawal walaupun negara tersebut masih dibelenggu keganasan penunjuk perasaan dan krisis politik.

Ribuan penduduk di bandar utama seperti Kaherah dan Iskandariah telah terlebih dahulu membuang undi dalam pilihan raya dalam fasa pertama.

Kira-kira 50 juta penduduk yang mahukan pemerintahan bercorak demokrasi di negara itu layak mengundi sehingga awal tahun hadapan mengikut wilayah masing-masing dan keputusan pilihan raya tersebut dijangka akan diumumkan pada 13 Januari depan.

25 November 2011

Deja vu di Mesir

Deja vu di Mesir


KAHERAH - Sembilan bulan lalu, pulu-han ribu rakyat Mesir keluar beramai-ramai ke Dataran Tahrir di ibu negara Kaherah semasa protes besar-besaran menentang pemimpin kuku besi, Presiden Hosni Mubarak.

Dan kini, situasi sama berulang lagi tetapi kali ini sasarannya adalah majlis tentera Mesir yang mengambil alih pemerinta-han sejak Mubarak berjaya digulingkan pada 11 Februari lalu.

Janji pemimpin Majlis Tertinggi Tentera Mesir, Mohamed Hussein Tantawi, kelmarin, untuk memindahkan kuasa kepada kerajaan awam, Jun depan, iaitu enam bulan lebih awal berbanding rancangan asal, gagal menghentikan protes yang masuk hari kelima, semalam, dan semakin merebak ke seluruh negara.

Bukan sahaja cara protes serupa dengan kebangkitan menentang Mubarak, malah keganasan pihak berkuasa juga sama apabila hampir kesemua 37 mangsa terbunuh mempunyai kesan tembakan walaupun polis menafikan menggunakan peluru hidup.

Majlis tentera, kelmarin, turut mengesahkan pilihan raya bebas pertama di Mesir akan tetap dijalankan seperti yang dijadual, Isnin depan namun kekacauan terbaru ini mungkin menjejaskan proses pemilihan anggota Parlimen Mesir.

Rakyat Mesir kini sedar mereka memiliki kuasa luar biasa untuk menukar pemerintahan negara dan mendapatkan apa mereka mahu tetapi persoalannya, adakah kuasa ini juga akan menyebabkan negara dengan 80 juta penduduk itu terperangkap dalam keganasan berpanjangan?

24 November 2011

Mesir huru-hara

Mesir huru-hara

SINAR HARIAN 

November 23, 2011

- Mesir bakal berhadapan kekacauan politik buat kali kedua di negara itu dalam tempoh sembilan bulan, apabila penunjuk perasaan mula merancang protes besar-besaran, minggu ini, bagi menamatkan peme­rintahan tentera yang didakwa cuba merampas kuasa.
KAHERAH - Mesir bakal berhadapan kekacauan politik buat kali kedua di negara itu dalam tempoh sembilan bulan, apabila penunjuk perasaan mula merancang protes besar-besaran, minggu ini, bagi menamatkan peme­rintahan tentera yang didakwa cuba merampas kuasa.

Tidak cukup dengan itu, seluruh barisan Kabinet Mesir turut memberikan surat perletakan jawatan kepada Majlis Tertinggi Tentera sekali gus menandakan ketidakstabilan politik berpanjangan akan berlaku di negara dengan penduduk paling ramai di Timur Tengah itu selepas penggulingan Presiden Hosni Mubarak.

Protes besar-besaran terbaru bermula sejak minggu lalu dengan lebih 20,000 penunjuk perasaan memenuhi Dataran Tahrir di Kaherah selepas pembunuhan 33 orang oleh pihak berkuasa, Sabtu lalu.

“Rakyat mahu Tantawi berundur!” adalah antara laungan penunjuk perasaan yang merujuk kepada ketua majlis tentera, Mohamed Hussein Tantawi iaitu bekas menteri pertahanan yang berkhidmat selama 20 tahun di bawah Mubarak.

Sehingga kini, majlis tentera belum memberi keputusan sama ada akan menerima perletakan jawatan Kabinet yang dibuat hanya beberapa hari sebelum pilihan raya pertama bermula, Isnin depan.

23 November 2011

Protes Mesir berlarutan

Protes Mesir berlarutan


- Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dalam pertempuran antara pihak berkuasa dan penunjuk perasaan di Mesir, iaitu keganasan terburuk sejak penggulingan bekas Presiden Hosni Mubarak.
KAHERAH - Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dalam pertempuran antara pihak berkuasa dan penunjuk perasaan di Mesir, iaitu keganasan terburuk sejak penggulingan bekas Presiden Hosni Mubarak.
Dengan hanya seminggu lagi tinggal sebelum pilihan raya bebas pertama dalam tempoh puluhan tahun diadakan, kekacauan terbaru di Kaherah dan beberapa bandar lain itu menimbulkan kebimbangan mengenai keganasan berterusan di Mesir.
Penunjuk perasaan berkhemah untuk malam ketiga di Dataran Tahrir di Kaherah, iaitu lokasi utama pemberontakan yang berjaya menggulingkan Mubarak, Februari lalu.
Penduduk Mesir akan mengundi bagi membentuk Parlimen baru negara itu, 28 November ini tetapi pilihan raya umum bagi memilih presiden akan hanya diadakan akhir tahun depan atau awal 2013. Namun penunjuk perasaan menuntut peralihan kuasa daripada tentera kepada kerajaan awam dipercepatkan.
Majlis Tertinggi Tentera Mesir yang memerintah negara itu menafikan akan terus berkuasa dan berikrar tidak akan membiarkan keganasan ini mengganggu pemilihan Parlimen.

22 November 2011

Bila Mesir akan aman?

Bila Mesir akan aman?
SINAR HARIAN 
November 21, 2011


- Rakyat Mesir menggulingkan pemimpin kuku besi negara itu, Hosni Mubarak dengan harapan mendapat kebebasan dan keamanan serta kehidupan lebih baik pada masa depan.

KAHERAH - Rakyat Mesir menggulingkan pemimpin kuku besi negara itu, Hosni Mubarak dengan harapan mendapat kebebasan dan keamanan serta kehidupan lebih baik pada masa depan.

Namun jika diukur dengan perkembangan yang dapat dilihat di Mesir, lebih sembilan bulan selepas kejatuhan Mubarak, harapan penduduk negara itu mungkin masih terlalu jauh untuk dicapai.

Kekacauan terbaru berterusan buat hari kedua di Mesir, semalam, selepas pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis, kelmarin, menyebabkan dua orang terbunuh dan 676 lagi cedera.

Perkembangan ini membimbangkan kerana ianya adalah kekacauan terbesar di negara itu sejak Februari lalu dan ianya berlaku kurang 10 hari sebelum pilihan raya negara itu dijadual berlangsung.

Corak kekacauan terbaru itu dilihat serupa dengan kebangkitan rakyat Mesir selama 18 hari yang menggulingkan Mubarak, 11 Februari lalu selepas pemerintahan beliau selama 30 tahun.

Penunjuk perasaan kini menuntut Majlis Tertinggi Tentera Mesir yang meme-rintah negara itu buat sementara waktu supaya segera mengumumkan tarikh penyerahan kuasa kepada kerajaan baru yang akan dibentuk selepas pilihan raya.

Menurut laporan media, ribuan perusuh di Kaherah, Iskandariah dan Suez berarak, kelmarin, sambil melaungkan ‘Rakyat mahu gulingkan kerajaan’ semasa menyerbu ke arah polis antirusuhan yang menggunakan peluru getah dan menembak gas pemedih mata bagi menghalang penunjuk perasaan.

Perusuh dilaporkan turut memecahkan simen daripada laluan pejalan kaki dan membaling serpihannya ke arah polis semasa pertempuran di Dataran Tahrir, iaitu lokasi utama yang menjadi antara simbol revolusi dunia Arab.

Selain itu, media melaporkan sekurang-kurangnya sebuah bangunan kerajaan turut dibakar dalam kekacauan terbaru di Kaherah itu.

Undian bagi pilihan raya pertama Mesir selepas kejatuhan Mubarak dijadual bermula, 28 November ini namun ia mungkin tertangguh jika keganasan kembali tercetus di negara itu.

Majlis Tertinggi Tentera Mesir menerima sokongan rakyat untuk mengawal keadaan negara semasa permulaan pemberontakan terhadap Mubarak tetapi penduduk Mesir kini mula mendakwa institusi itu ingin mengekalkan kuasa sebagai pemerintah walaupun selepas kerajaan baru dibentuk kelak.

18 October 2011

Mesir haramkan diskriminasi

Diskrimininasi di Mesir


Majlis Tertinggi Tentera Mesir yang memerintah negara itu melarang diskriminasi berasaskan kaum, jantina atau agama melalui peraturan baru yang diumumkan, kelmarin.

Perintah itu dikeluarkan selepas pergaduhan kaum antara penunjuk perasaan terdiri daripada penganut agama Kristian dan tentera Mesir yang menyebabkan 25 orang terbunuh, Ahad lalu, iaitu keganasan paling buruk sejak penggulingan bekas presiden Hosni Mubarak pada 11 Februari lalu.

Di bawah peraturan baru itu, tindakan berupa diskriminasi terhadap seseorang atau kumpulan berdasarkan jantina, kaum, bahasa atau agama akan dianggap sebagai satu kesalahan jenayah.

Individu yang didapati bersalah melakukan diskriminasi terhadap orang lain boleh dipenjara tiga bulan atau didenda sebanyak 100,000 pound Mesir (RM52,350).

Sebelum ini, penunjuk perasaan dan ahli politik mendakwa tentera Mesir bertindak ganas semasa kekacauan minggu lalu itu, sama seperti polis yang berkhidmat di bawah pemerintahan Mubarak.

13 October 2011

Majlis Tertinggi Tentera dikecam

Protes di Mesir

 SINAR HARIAN 


Penunjuk perasaan mendakwa pemerintah tentera bertanggungjawab mencetuskan insiden keganasan itu sehingga menyebabkan 26 terbunuh dan lebih 500 cedera.

Laporan forensik mendedahkan kematian penunjuk perasaan yang kebanyakannya terdiri daripada penganut Kristian tersebut berpunca akibat tembakan rambang dan dilanggar kereta kebal milik tentera.

Pemerintah tentera Mesir mengutuk keganasan kaum terburuk itu yang dilihat cuba melemahkan kerajaan dan turut memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas bagi melindungi keamanan.

Kenyataan tentera tersebut dilihat seakan cuba mengekalkan kuasa mereka walaupun kebanyakan aktivis menuntut pembentukan kerajaan demokrasi selepas bekas presiden, Hosni Mubarak digulingkan, Februari lalu.

Sementara itu, penganut Kristian di negara tersebut juga mengkritik tindakan sambil lewa kerajaan kerana tidak mengambil sebarang tindakan terhadap siri serangan ke atas mereka.